Sukan SEA Kemboja: Kimberly Bong raih pingat emas ke-10 negara


  • Podium
  • Isnin, 08 Mei 2023

Terjunan Kimberly yang membolehkannya meraih pingat emas acara 3m papan anjal di Sukan SEA Kemboja. — Bernama

LAGU Negaraku berkumandang pada hari pertama saingan terjun selepas penerjun muda negara, Kimberly Bong merangkul pingat emas acara 3 meter (m) papan anjal wanita.

Pingat itu merupakan emas ke-10 dari akuatik terjun buat kontinjen Malaysia selepas Kimberly menyempurnakan terjunannya di Pusat Akuatik Nasional Morodok Techo di Phnom Penh, Kemboja pada Isnin.

Penerjun muda berusia 20 tahun itu mengumpul 276.30 mata dalam keseluruhan lima terjunan untuk menewaskan lapan penerjun lain.

Kimberly juga sekali gus mengekalkan pingat emas yang dimenangi Ng Yan Yee pada temasya sama di Vietnam, tahun lalu.

Seorang lagi penerjun negara, Ong Ker Ying yang memenangi perak di Vietnam terpaksa berpuasa hati dengan gangsa manakala perak dimenangi atlet Indonesia, Gladies Lariesa.

Kejayaan Kimberly itu merupakan emas Sukan SEA pertamanya selepas membuat kemunculan di temasya sukan dwitahunan itu sejak edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Lebih manis, atlet kelahiran Sarawak itu berjaya mengekalkan penguasaan Malaysia dalam acara 3m papan anjal wanita sejak Cheong Jun Hoong memenangi emas pada edisi 2011 di Palembang, Indonesia.

Pada edisi 2021 di Hanoi, Vietnam, Kimberly meraih perak 1m papan anjal selepas menamatkan saingan di belakang atlet terjun elit negara, Nur Dhabitah Sabri yang merangkul emas.

Saingan terjun akan bersambung pada Selasa dengan giliran penerjun lelaki negara turun beraksi dalam saingan 3m papan anjal. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram