PENYERANG sensasi Njardvik FC, Luqman Hakim Shamsudin berjaya melakukan penampilan cemerlang untuk membantu pasukannya meraih mata pertama di Liga Iceland.
Pemain berusia 20 tahun itu diturunkan pada aksi kalah mati sebelum ini ketika pasukannya mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas KFA dalam pusingan 32 Piala Iceland.
Anak jati Kota Bharu, Kelantan itu sekali lagi diberi peluang untuk membuktikan kemampuan apabila dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-83.
Beraksi di gelanggang lawan menentang Grótta, pasukan tuan rumah terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Tomas Johannessen sebelum gol Marc McAusland memastikan Njardvik pulang dengan satu mata.
Kemasukan Luqman Hakim ketika aksi Njardvik FC menentang Grótta memberikan impak positif kepada pasukan. — Twitter
Di Twitter, Luqman Hakim menerusi akaun @luqmansham10 menzahirkan rasa syukur kerana terus diberi peluang membuat penampilan dengan kelab Iceland itu.
"Tiada sesuatu yang mudah untuk tujuan yang indah. Semua perlukan usaha dan sabar," tulisnya pada Ahad.
Sementara itu, peminat pemain muda itu juga memberikan kata-kata semangat kepada Luqman Hakim.
"Usaha tak akan mengkhianati hasil. Jangan putus asa bro," kata @naedyzulkafli.
"Cepat atau lambat usaha akan membuahkan hasil," ujar @iamsyakeeb pula.
Njardvik akan melayan kunjungan Aegir dan impak pemain pinjaman KV Kortrijk itu sudah tentu ditagih untuk membawa cabaran pasukan musim ini.
Sebagai rekod, Luqman Hakim, 21, menandatangani kontrak lima tahun bersama kelab Belgium, KV Kortrijk pada 20 September 2019 dan berhasil melakukan dua penampilan bersama skuad senior pasukan itu.
Dia kemudian memilih untuk menyertai kelab liga divisyen dua Iceland, Njardvik, pada awal Februari lalu untuk mendapatkan lebih banyak minit permainan di peringkat senior. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram