Sukan SEA 2023: Peledak berbisa Harimau Muda optimis mampu tewaskan Thailand


  • Podium
  • Jumaat, 05 Mei 2023

Sukan SEA Kemboja merupakan penampilan sulung Aliff Izwan bersama skuad Harimau Muda. — Facebook/FAM

PENYERANG Bawah-22 (B-22) negara, Muhammad Aliff Izwan Yuslan, bertekad menghadiahkan jaringan selepas gagal menyempurnakan peluang dalam pertemuan dengan Laos, Selasa lalu.

Pemain utama itu mengakui pertembungan dengan Thailand bukan perkara mudah tetapi tiada apa yang mustahil, lapor Stadium Astro.

Sekali pun ini merupakan pengalaman pertamanya dalam Sukan SEA tetapi tanggungjawab menggalas misi negara untuk ke pentas final tidak hanya disandarkan di bahu pemain senior semata-mata.

"(Biarpun akan) berdepan dengan Thailand yang kuat tapi saya yakin dengan pasukan sendiri.

"Kami tidak memandang rendah dengan Thailand tapi saya perlu yakin dengan (kemampuan) pasukan sendiri," katanya di Nadi Arena pada Jumaat.

Sementara itu, penjaga gol negara, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, enggan mengambil mudah walau mengikut rekod membabitkan perlawanan B-19 dan B-18 sebelum ini, Malaysia pernah menumbangkan skuad Gajah Perang yang majoritinya dibarisi pemain hampir sama.

Merujuk kepada pemerhatiannya, ada beberapa muka baru yang mungkin boleh dilabel sebagai senjata rahsia Thailand dan sebagai orang penting di pertahanan akhir, Sikh Izhan memilih untuk berwaspada.

"Kami tidak boleh jangkakan pasukan Thailand akan menjadi (lawan yang) lebih mudah, kami perlu berwaspada dengan serangan dan hantaran berbahaya.

"Kami perlu fokus di benteng pertahanan dan tidak boleh mengulangi kesilapan sebelum ini," katanya pula. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram