'Kekuatan TRW bukan pada pemain atau pengurusan', pemerhati sukan dedah faktor penting demi kelangsungan kelab


  • Podium
  • Jumaat, 05 Mei 2023

Mampukah skuad TRW kembali ke landasan selepas separuh musim yang mengecewakan? — Facebook/TRW Kelantan FC

KEDUDUKAN di tangga ke-13 carta Liga Super sememangnya satu realiti pahit yang terpaksa ditelan penyokong serta pihak pengurusan Kelantan FC.

Meskipun adanya usaha untuk menyuntik semula semangat dengan melakukan perubahan barisan kejurulatihan, lima kekalahan berturut-turut seperti membuktikan pasukan Pantai Timur itu masih dihurung masalah.

Rekod pertahanan tercorot juga bukanlah satu pencapaian yang diharapkan tatkala mereka sudah dibolosi sebanyak 34 kali dalam hanya 10 perlawanan.

Lebih memburukkan lagi keadaan, situasi di luar padang turut menaikkan lagi tekanan untuk semua pihak kembali membawa skuad The Red Warriors (TRW) ke landasan yang tepat.

Baru-baru ini, pihak pengurusan Kelantan FC mengambil langkah yang menimbulkan tanda tanya apabila mereka meletakkan beberapa peraturan ketat kepada penyokong.

Larangan untuk membawa alat muzik seperti drum setiap kali beraksi di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan mencetuskan rasa kurang senang kerana ia menyukarkan penonton yang hadir untuk memeriahkan suasana.

Hal itu disertai dengan alasan keselamatan, yang mana turut membangkitkan lebih banyak persoalan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Antara yang turut memberi pandangan akan isu berkenaan adalah pemerhati sukan, Zuraimi Zukri yang sepertinya kurang setuju dengan tindakan pihak pengurusan Kelantan FC.

344385496_976037730137788_2876277985133742563_n

Kehadiran penyokong ke Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan tidak pernah mengecewakan. Facebook/TRW Kelantan FC

Katanya, penyokong setia kelab Pantai Timur berkenaan merupakan elemen penting di sebalik zaman kegemilangan mereka sehingga pernah menerima gelaran 'treble' pada 2012.

"Apa yang paling menarik tentang bola sepak Kelantan? Di mana kekuatan sebenar kelab ini? Kekuatan kelab ini adalah peminatnya bukan pemilik, pemain atau apa-apa.

"Di Kota Bharu, Kelantan, tiada hiburan lain selain bola sepak. Maka, stadium adalah segala-galanya. Walaupun dengan prestasi buruk, tiket mahal dan pelbagai masalah luar padang timbul, namun pasukan bola sepaknya masih lagi ditonton," tulisnya menerusi laman Facebook peribadinya.

Tambahnya, menerusi data yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), lebih 22,000 penonton hadir ke stadium berkenaan meskipun skuad TRW hanya beraksi sebanyak empat kali di laman sendiri.

Perlawanan yang merekodkan jumlah kehadiran tertinggi adalah ketika pasukan Pantai Timur itu bertemu Kuala Lumpur (KL) City FC pada 17 Mac lalu.

Ia dikatakan berpunca daripada sifat sentimental penyokong TRW untuk menyaksikan bekas pengendali mereka, Bojan Hodak yang ketika ini bersama-sama skuad Warga Kota.

Jelas Zuraimi lagi, statistik di atas membuktikan pasukan berkenaan perlu memastikan kehadiran orang ramai berterusan demi kelangsungan kelab.

"Angka ini menghampiri 20 hingga 25 peratus kapasiti walaupun Kelantan antara pasukan tercorot Liga Super. Jika trend ini berterusan, Kelantan mampu mengutip hasil dari jualan tiket sebanyak RM1.5 juta hingga RM2 juta sepanjang musim.

"Benarlah pendedahan Tan Sri Annuar Musa satu masa dahulu, pasukan ini ada kemampuan mengutip jualan tiket sebanyak RM4 juta jika mereka pasukan pertengahan dan ada kemampuan meraih sebanyak RM8 juta jika mereka pasukan atasan," katanya.

Kelantan FC selepas ini bakal bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman, Kedah pada 19 Mei yang merupakan peluang terbaik untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram