‘Saya yang paling gembira apabila Ronaldo tinggalkan United’


  • Podium
  • Rabu, 03 Mei 2023

Ronaldo sudah menjaringkan 12 gol setakat ini bersama Al Nassr. — Agensi

UROS Matic, abang kepada bekas pemain tengah Chelsea dan Manchester United, Nemanja Matic, mendedahkan bahawa dia paling gembira apabila Cristiano Ronaldo menyertai kelab Liga Pro Saudi, Al-Nassr.

Ronaldo, 38, menyertai Al-Nassr selepas Manchester United menamatkan kontraknya dengan persetujuan bersama tahun lalu selepas terdapat beberapa isu dalam pasukan itu.

Pemenang Ballon d'Or lima kali itu membuat permulaan yang baik dalam Liga Pro Saudi, dengan menjaringkan 12 gol setakat ini.

Bercakap kepada ArabNews, Matic berkata, dia sangat gembira apabila Ronaldo memilih untuk bermain di Arab Saudi kerana banyak perubahan yang berlaku sejak kehadiran pemain kebangsaan Portugal itu.

“Saya sangat gembira apabila Cristiano datang kerana ia bagus untuk semua bola sepak Saudi, untuk semua pemain yang bermain di Liga Pro Saudi.

“Liga berubah serta-merta, orang ramai kini mahu menonton bola sepak Saudi dan anda boleh melihat berapa banyak stesen TV membeli hak untuk menstrim bola sepak Saudi.

"Dia meningkatkan tahap komersial dan kini seluruh dunia menonton Liga Pro Saudi," katanya.

Uros Matic

Uros Matic, abang kepada bekas pemain tengah Chelsea dan Manchester United, Nemanja Matic. Agensi

Dalam pada itu, Ronaldo dilaporkan akan meninggalkan kelab Arab Saudi, Al Nassr tidak lama lagi.

Menurut laporan media, Presiden Real Madrid, Florentino Perez menawarkan Ronaldo peranan sebagai duta di kelab itu.

Sebelum menyertai pasukan Arab Saudi itu, Ronaldo mencuba nasib untuk kembali ke Real Madrid.

Bagaimanapun, Perez menghalang pemain itu kembali ke Bernabeu.

Namun, dia kini ditawarkan kembali ke kelab itu tetapi bukannya berperanan sebagai pemain.

Sebaliknya, laporan mengatakan bahawa Perez mahu Ronaldo memainkan peranan sebagai duta kelab atau menjadi sebahagian daripada organisasi kelab tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram