Biarlah sejarah hakimi kerja saya sesudah saya angkat kaki — Teong Kim


  • Podium
  • Rabu, 03 Mei 2023

Teong Kim mahu berasa puas terhadap apa yang dilakukan terhadap Perak FC dan pemain-pemain muda di dalamnya. — Facebook/ Perak FC

LAPTOP Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

MENGHARGAI rangsangan yang diperolehnya dalam menerapkan falsafah bola sepak bersama Perak FC musim ini, ketua jurulatihnya, Datuk Lim Teong Kim, bersikap terbuka dengan menyatakan dia tidak pernah takut untuk gagal.

“Saya tidak pernah berasa gentar untuk angkat kaki apabila tiba masanya disuruh pergi,” katanya kepada Laptop Cabuk sambil menjelaskan kenyataannya itu tidak harus disalahertikan sebagai mendabik dada.

Dengan menegaskan kehidupan hariannya berjalan seperti biasa selepas episod pergeserannya dengan media susulan satu temu bual televisyen di penghujung perlawanan menentang Johor Darul Takzim (JDT) di Ipoh, 4 April lalu, jurulatih berusia 60 tahun itu berkata, dia juga tidak pernah takutkan kritikan.

341707726_529906089351497_8169537345249099699_n

Teong Kim memiliki wawasan tersendiri buat skuad Perak FC. — Facebook/ Perak FC

Terdahulu, Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) menghantar nota bantahan meluahkan rasa kecewa dengan caranya yang didakwa bersikap ‘acuh tak acuh’ dalam menjawab soalan wartawan selepas kekalahan 0-5 itu.

Ini disusuli penjelasan jurulatih itu yang dia telah disalahertikan kerana suasana bingit ketika temu bual berkenaan di samping tiada niatnya untuk memperlekehkan mana-mana petugas media serta memohon maaf jika ia menyinggung mana-mana pihak

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, turut mengeluarkan kenyataan memohon maaf kepada petugas media dan SAM sambil memberi jaminan peristiwa itu tidak akan berulang.

Mengorak langkah ke hadapan, Abdul Azim dipetik sebagai berkata bahawa kelab itu bertindak profesional mengenai sebarang keputusan drastik daripada pihak pengurusan ke atas status Teong Kim.

"Kena beri masa kerana (proses) ini akan memakan masa yang lama, jadi tunggulah. Kontraknya selama dua tahun, itulah jangka masa yang kami berikan kepada Teong Kim,” katanya ketika itu.

343744543_959392258428769_740508200930010705_n

Skuad Perak FC memperoleh kemenangan 3-2 ke atas Kelantan FC dalam saingan Liga Super tempoh hari. — Facebook/ Perak FC

Kembali membuka mulut untuk temu bual, bekas penolong pengurus skuad bawah 19 tahun Bayern Munich itu menghargai sokongan pihak pengurusan terhadapnya sambil menganggap penting kepercayaan terhadapnya.

“Saya sangat berterima kasih bukan saja kepada Datuk pengerusi, malah seluruh lembaga pengarah di atas kepercayaan mereka. Saya lebih-lebih lagi gembira dengan sokongan terhadap wawasan saya buat pasukan ini.

“Juga saya tidak jemu untuk mengulangi bahawa kami sedang membina sebuah pasukan baru, maka ia perlukan masa untuk pemain-pemain memahami falsafah bola sepak yang sedang cuba diterapkan,” katanya.

Tambahnya, pemain-pemain muda dalam pasukan perlu terus diberikan ruang membina keyakinan untuk menjadi pemain yang lebih baik seperti yang boleh dilihat kemajuan mereka daripada satu perlawanan ke perlawanan berikutnya.

“Saya sedang bekerja keras bersama mereka. Ia tidak pernah berhenti memberi saya keyakinan di atas apa yang saya lihat daripada semangat tinggi dan kesungguhan mereka untuk memperbaiki diri,” ujarnya.

342406251_1783838125346526_5637682852648931790_n

Luciano merupakan satu-satunya import yang dibawa turun ketika Perak FC menentang Kelantan FC. — Facebook/ Perak FC

Sebagai membuktikan keseriusannya dengan bakat tempatan, ketua jurulatih Perak FC itu membawa hanya seorang pemain import, Luciano Guaycochea, ke Kota Bharu, Jumaat lalu, namun ia masih cukup untuk mereka mengukir kemenangan 3-2.

Teong Kim, bagaimanapun, kecewa dengan beberapa bekas jurulatih yang berpandangan bahawa Liga Super bukanlah medan yang sesuai untuk Perak FC manfaatkan dalam proses mematangkan pemain-pemain muda sandarannya.

Saingan tertinggi domestik itu, kata mereka, hanya untuk pemain-pemain elit yang pilihan mereka hanya dua – sama ada untuk ‘membunuh’ atau ‘dibunuh’ – dan tentu sekali bukan medan pendedahan.

“Biarlah saya pendam saja apa yang mahu saya gelarkan mereka ini kerana pastinya ia akan mengguris hati. Jadi, biarlah saya ketawa saja dengan apa yang mereka katakan tanpa berfikir.

“Cuma saya nak tanya bagaimana mereka bermula dulu – adakah mereka bermain dalam liga hanya sesudah mencapai usia 28 tahun atau dari usia belasan tahun dan awal 20-an untuk naik dari bawah?

“Jelas sekali mereka (bekas jurulatih berkenaan) terlupa asal-usul mereka sebagai pemain. Ia seolah-olah semuanya okey untuk mereka bermula dari bawah tapi tak okey untuk pemain-pemain Perak FC,” sindirnya.

343932226_253246920433068_6524724107600744097_n

Teong Kim mahu pemain muda di Perak FC mendapat manfaat daripada peluang beraksi di Liga Super. — Facebook/ Perak FC

Menurut Teong Kim lagi, sebagai bekas pemain, dia juga tahu segala jalan pintas untuk meraih kejayaan segera dengan mendapatkan seramai mungkin pemain import dan naturalisasi dalam pasukan seperti yang boleh dilihat dalam liga musim ini.

“Sudah tentu, saya juga mahukan kejayaan. Anda fikir saya tak tahu caranya untuk pasukan menang selalu?

“Tapi ini bukan berkisar mengenai Lim Teong Kim. Saya lakukan semua ini untuk kebaikan pemain-pemain muda tempatan dan masa depan mereka bersama skuad negara.

“Saya tidak pernah berasa takut untuk gagal dalam jangka masa singkat asalkan pemain-pemain muda di bawah jagaan saya mendapat kebaikan dan manfaat daripada peluang beraksi dalam Liga Super yang saya berikan mereka.

343435204_156389974055987_3507966806441851872_n

Teong Kim mahu sejarah yang menghakimi kejurulatihannya di skuad The Bos Gaurus. — Facebook/ Perak FC

“Saya seorang jurulatih profesional dan saya tidak bercadang untuk kekal selama yang boleh dengan sebuah pasukan. Tapi sepeninggalan saya nanti, saya mahu berasa puas yang saya sudah melakukan yang terbaik buat pasukan dan pemain-pemain muda di dalamnya.

“Dan saya akan terus membuat kerja saya bersama pemain-pemain muda tempatan selama mana saya dibenarkan.

“Pada penghujungnya nanti, biarlah sejarah yang menghakimi sama ada saya sudah melakukan kerja-kerja saya dengan baik atau tidak, terutama jika pemain yang pernah saya asuh dapat mewakili skuad kebangsaan,” sambung Teong Kim yang berterima kasih kepada pemain-pemainnya dan penyokong yang terus setia bersama pasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram