Jika dapat masuk final pun sudah cukup baik, 3 lagi 'team' lebih berjiwa besar — Penganalisis


  • Podium
  • Selasa, 02 Mei 2023

Pekan melihat beberapa negara lain menunjukkan cita-cita yang lebih besar untuk kempen kali ini. — Facebook/FAM 

SUKAN SEA yang diadakan secara dwitahunan sememangnya menjadi tumpuan ramai dengan pelbagai acara dipertandingkan bagi mengasah bakat-bakat baharu.

Namun, acara bola sepak pastinya menjadi tumpuan peminat sukan di rantau Asia Tenggara yang cukup terkenal dengan sukan kompetetif berkenaan.

Jadi, tidak boleh dinafikan apabila segelintir pihak mula melabelkannya sebagai 'ibu segala pingat' dengan pemenang sering dijulang saban tahun.

Tahun ini, harapan pastinya menggunung buat skuad kebangsaan yang sepertinya menampilkan skuad terbaik berdasarkan kualiti serta pengalaman masing-masing.

Pasukan yang berada di bawah kendalian E Elavarasan dikatakan mempunyai peluang yang cerah untuk menamatkan penantian hampir 12 tahun untuk membawa pulang pingat emas.

Meskipun diundi dalam kumpulan yang sukar bersama Thailand, Vietnam, Singapura dan Laos, kesemua 20 pemain yang dipanggil sememangnya tidak boleh dipersoalkan dari segi pengalaman.

Tambahan pula, keserasian juga sepertinya bukanlah satu masalah memandangkan skuad Bawah 22 tahun (B-22) itu sudah muncul sebagai juara Piala Merlion yang diadakan di Singapura Mac lalu.

IMG_20230327_003834

Skuad B-22 negara ketika menjuarai Piala Merlion 2023 Mac lalu. Facebook/FAM

Oleh itu, penyokong sepertinya sudah tidak sabar-sabar untuk melihat kebolehan wakil negara untuk membawa pulang pingat emas dalam kategori terbabit.

Bagaimanapun, harapan berkenaan seolah-olah tidak dikongsikan penganalisis bola sepak tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli yang berpendapat cabaran besar menanti pasukan itu.

"Secara peribadi maaf cakaplah, memang pandangan saya ini nampak negatif, tapi melihat kepada skuad ini secara keseluruhan, kalau dapat masuk final pun dah kira cukup baik.

"Tak payahlah kita minta skuad ini pulang bawa pingat emas. Juara bertahan, Vietnam dan Thailand serta Indonesia dilihat lebih bersedia dan berjiwa besar untuk ibu kepada segala pingat ini," katanya kepada Majoriti.

Katanya, tidak patut timbul sebarang kegusaran daripada penyokong mengenai undian berkenaan kerana pasukan perlu sentiasa bersedia untuk berdepan segala cabaran.

Kali terakhir pasukan kebangsaan menjuarai sukan tersebut adalah pada 2011 ketika Sukan SEA diadakan di Jakarta, Indonesia.

KUALA LUMPUR, 1 Sept -- Ketua Jurulatih Pasukan Bawah 23 (B-23) Kebangsaan, E. Elavarasan ditemui selepas sidang media pengumuman barisan kejurulatihan skuad B-23 di Wisma FAM, hari ini.--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Elavarasan memikul tanggungjawab berat untuk kempen Sukan SEA tahun ini.

Kemenangan itu diraih apabila wakil negara menundukkan tuan rumah menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat selepas 90 minit permainan.

Tahun ini, temasya yang diadakan di Kemboja itu sememangnya menjadi satu tarikan dengan kehangatan semakin dirasakan peminat sukan sekitar Asia Tenggara.

Dalam masa sama, Pekan turut berpendapat ketiadaan pemain senior dalam skuad B-22 itu tidak akan menghalang cita-cita mereka untuk menyumbang pingat emas.

"Tiada masalah pun kalau tiada pemain senior terutama kalau pemain senior itu ibarat 'ada tidak menambah tiada pun tidak berkurang'.

"Peraturan acara bola sepak pada Sukan SEA ini memang tepat dan medan terbaik untuk menonjolkan pemain muda," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram