SERAMAI 26 pemain dipanggil oleh ketua jurulatih skuad Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi bagi menyertai kem latihan pusat mulai 19 April sebagai persiapan menjelang Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja bermula 2 hingga 16 Mei 2023.
Senarai berkenaan menyaksikan Soleen memanggil seramai lima pemain daripada 25 tonggak yang beraksi pada pusingan Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 di Phnom Penh, Kemboja dari 8 hingga 12 Mac.
Daripada senarai pemain di atas, pengendali dari Jordan itu memanggil seramai 13 pemain baharu yang mana purata umur bagi panggilan latihan pusat kali ini adalah 22 tahun.
Antara yang terpilih adalah pemain muda wanita yang sedang meningkat naik adalah tonggak pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) FC, Eva Olivianie Antinus.
Bercakap mengenai pemilihannya itu, pemain berusia 22 tahun itu percaya akan berlaku perubahan dalam skuad bola sepak wanita negara pada kejohanan terbesar Asia Tenggara itu.
Senarai 26 pemain dipanggil ke kem latihan Malayan Tigress. — Facebook/FAM
Eva yang sebelum ini pernah menyarung jersi Malayan Tigress ketika pusingan kelayakan Piala Asia Wanita 2022 berharap dia sentiasa dapat memberi inspirasi kepada pemain wanita lain.
“Saya harap akan ada perubahan dan kami akan beri yang terbaik untuk pasukan Malaysia.
“Eva berharap dapat memberi inspirasi pemain-pemain lain. Saya nak buat perubahan,” kata pemain dari Tambunan, Sabah itu kepada Majoriti.
Dalam pada itu, Eva juga sempat berkongsi mengenai kekalahan pasukannya, UPNM FC pada perlawanan pentas akhir Liga Super Wanita Selangor menentang MBSJ dengan keputusan berkesudahan menerusi sepakan penalti 3-0 selepas terikat 1-1.
Meskipun tewas tipis di tangan MBSJ, Eva mengganggap ia satu pengajaran yang berguna buatnya dan rakan sepasukan untuk tampil memberikan persembahan lebih baik selepas ini.
Eva menganggap kekalahan adalah satu pengajaran yang berguna buatnya. — Instagram/Eva
“Saya sangat kecewa sebab impian saya adalah untuk menjadi juara. Tapi tidak apa kerana ini pengajaran supaya kami boleh comeback stronger in the next game.
“Saya tak rasa kesal pun dengan corak permainan kami. Semua perlawanan ada silap, saya tidak menyesal kerana tiada yang merugikan pun, malahan kami masih ada peluang untuk buat yang terbaik,” kongsinya.
Selepas ini Eva akan memberi fokus kepada tugasan negara kerana skuad Malayan Tigress akan menjalani kem latihan pusat selama 25 hari di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Pengendali Soleen sudah menjadualkan satu perlawanan antarabangsa Tier 1 pada penghujung April ini di halaman tempat lawan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram