Beberapa jam sebelum aksi mega lawan Arsenal, Pep Guardiola risau isu kepenatan menghantui Man City


  • Podium
  • Rabu, 26 Apr 2023

City ketika ini hanya ketinggalan lima mata berbanding Arsenal di kedudukan kedua. — Agensi

PERLAWANAN dua pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) melibatkan Manchester City dan Arsenal di Etihad awal pagi Khamis hampir pasti menjadi penentu kejuaraan kali ini.

Musim ini menyaksikan Arsenal yang dibimbing Mikel Arteta buat kali pertama berpeluang cerah untuk muncul juara, namun tiga aksi terakhir menentang Liverpool, West Ham United dan Southampton berakhir dengan keputusan seri yang mana merencatkan momentum mereka.

City ketika ini hanya ketinggalan lima mata berbanding Arsenal di kedudukan kedua, namun mereka mempunyai kelebihan kerana belum beraksi dalam dua perlawanan berbanding lawan mereka itu.

Bagaimanapun, pengendali City, Pep Guardiola meluahkan kebimbangannya apabila mengakui pasukannya ketika ini berdepan isu kepenatan ekoran jadual padat apabila masih bersaing di Liga Juara-Juara dan Piala FA.

“Ini adalah seperti perlawanan akhir menentang sebuah pasukan yang dianggap terbaik ketika ini di England.

“Biarpun kami berdepan masalah keletihan, saya fikir momentum yang ada ketika ini sangat baik dan paling utama. Kami terpaksa bermain sekali dalam tempoh tiga atau empat hari, jika anda terbiasa dengan kemenangan, anda akan menang.

“Saya berharap para penyokong akan datang ke stadium memberikan sokongan padu. Kami perlukan sorakan daripada mereka seawal minit pertama hingga wisel penamat kerana lawan kami kali ini tidak mudah.

“Jika kami berjaya memenangi perlawanan ini, ia adalah satu langkah yang hebat untuk kami muncul juara. Kami mempunyai peluang dan mahu meraihnya,” katanya.

Guardiola turut mengakui bahawa beliau mungkin perlu melakukan sedikit rombakan pasukan bagi mengatasi masalah kepenatan selepas beberapa pemain turut mengadu tidak mampu memberikan aksi maksimum.

“Saya lihat mereka penat. Rodri memberitahu staf kejurulatihan bahawa dia terlalu penat dan tidak mampu untuk bermain.

“Saya juga merasai perkara sama menimpa John Stone dan beberapa lagi pemain, namun Ilkay Gundogan masih segar. Saya tidak boleh merombak terlalu banyak kerana ia menyebabkan prestasi pasukan jatuh,” jelasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram