PENGENDALI Johor Darul Takzim (JDT), Esteban Solari mengakui bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan dibuat oleh pasukan lawan, PDRM FC untuk aksi pada Rabu.
Pengendali dari Argentina itu menjangkakan pasukan The Cops akan menggunakan taktikal parkir bas dalam pertembungan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Menurutnya, PDRM FC kendalian Azzmi Aziz akan bermain secara bertahan semasa pertembungan kedua-dua pasukan pada pusingan 16 Piala FA minggu lalu.
Dalam aksi tersebut, pasukan Harimau Selatan menang 3-0 untuk menempah tempat ke suku akhir.
Solari menjangkakan The Cops akan mempraktikkan corak bertahan di benteng pertahanan dengan membentuk barisan lima atau enam pemain di belakang untuk menyerap asakan daripada barisan serangan JDT.
"Dalam bola sepak, taktik ini dibenarkan, jadi saya tidak boleh nak kata apa, sebaliknya, fokus supaya pemain beraksi tanpa tekanan.
"Saya juga mahu cuba mendapatkan momentum yang baik sambil mengekalkan konsistensi kerana perlawanan ini penting untuk kami,” kata Solari.
Pemain JDT, Arif Aiman Hanapi (tengah) cuba melepasi kekangan pemain PDRM FC pada perlawanan Piala FA pusingan ke-2 di Stadium Sultan Ibrahim. — Bernama
Tambahnya, pada aksi Piala FA, JDT menurunkan ramai pemain muda yang kurang minit permainan dan ia tidak menjadi masalah untuk menurunkan pemain sama.
"Di JDT kami ada 'squad depth' malah 27 pemain dalam pasukan berkeupayaan bermain dalam kesebelasan utama.
“Jika ada peluang untuk pemain yang kurang minit permainan, sudah tentu saya akan menyenaraikan mereka beraksi dalam kesebelasan utama terutama pemain muda.
“Malah bagi aksi seterusnya menentang pasukan yang sama kemungkinan saya lakukan tapi bergantung kepada pendekatan taktikal,” katanya.
JDT kini semakin menjarakkan mata dalam carta Liga Super denghan mengumpul 24 mata menerusi lapan kemenangan yang dilalui. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram