
KETUA jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mahu pasukan kembali mendapatkan prestasi terbaik selepas berdepan perlawanan yang begitu mencabar dalam tiga aksi Liga Super terdahulu apabila meraih satu mata sahaja.
Kim Swee tidak menafikan masih ada kelemahan daripada pelbagai aspek yang menyaksikan pasukan tewas dalam dua perlawanan lalu dan terdahulu seri 1-1 dengan Negeri Sembilan FC.
Justeru, penting untuk Sabah meraih kembali kemenangan sepertimana yang mereka lakukan pada awal musim apabila konsisten tanpa kalah dalam lima perlawanan awal selain perlu mencari solusi untuk tidak lagi kehilangan mata di tempat lawan.
“Sudah tentu kami ingin ambil kesempatan bermain di tempat sendiri untuk meraih tiga mata selepas tiga perlawanan di tempat lawan yang tidak memuaskan.
“Kita hanya berjaya bawa balik satu mata sahaja dan ada beberapa aspek kelemahan dari segi ketumpulan serangan," katanya dalam kenyataan MFL.
Kim Swee tidak mahu anak-anak buahnya mengambil mudah lawan yang lemah. — Facebook/ Sabah FC
Kim Swee pada masa sama berkata, anak-anak buahnya mudah hilang fokus dalam beberapa situasi yang saya rasa tidak harus berlaku.
“Apabila kita berada di luar Sabah dengan begitu lama, banyak benda yang kita perlu ambil berat daripada semua perkara.
“Jadi, pemain-pemain memang perlu ambil pengajaran untuk memastikan kita boleh lakukan dengan lebih baik selepas ini terutamanya di tempat lawan," jelasnya.
Bakal berdepan Kelantan FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu, Kim Swee tidak mahu anak buahnya terlalu yakin dan memandang rendah aksi lawan jika melihat kepada prestasi tidak menentu The Red Warriors itu.
Sabah perlu meraih kembali kemenangan sepertimana yang mereka lakukan pada awal musim. — Facebook/ Sabah FC
Bahkan, beliau percaya Kelantan punya perancangan tersendiri untuk memastikan mereka tidak lagi tercicir mata apabila kini berada di kedudukan kedua tercorot Liga Super.
“Memang kita tidak boleh ambil mudah untuk bemain dengan mereka walaupun mereka mungkin sedang berdepan masalah tertentu sebelum ini.
“Yang penting dekat sini adalah kita harus fokus dengan apa yang kita nak buat dan tidak boleh anggap Kelantan sebagai lawan mudah untuk menang.
“Kalau terlampau yakin, banyak perkara yang kita tidak boleh jangka akan berlaku dan pemain saya kena kekalkan fokus," tambahnya.
Sabah FC kini berada di tangga kelima dengan 14 mata selepas lapan perlawanan manakala Kelantan di tangga ke 13 dengan empat mata sahaja.
Saksikan siaran langsung perlawanan ini di TV2 dan Sukan RTM. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram