'Effort tak cukup', Nafuzi akui Sang Kenari kurang yakin, belum cukup kuat


  • Podium
  • Rabu, 19 Apr 2023

Sebahagian aksi KDA FC menentang KL City FC di Stadium Darul Aman pada Selasa. — Facebook/ MFL

KETUA Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Mohd Nafuzi Mohd Zain mengakui pasukannya belum cukup ‘kuat‘ untuk bersaing dalam kempen Liga Super sekiranya beberapa kelemahan tidak diatasi segera oleh pemain sendiri.

Menurutnya, antara yang perlu diberi tumpuan ialah pemain perlu meningkatkan tahap keyakinan diri bagi membentuk persefahaman serta kesungguhan dalam memberikan tentangan semasa berada di padang.

"Apa yang saya nampak, pemain kita dia punya kesungguhan tidak mencukupi untuk menang berlawan KL City FC. Dari segi pertahanan, KL kukuh... serangan balas mereka agak kukuh. Jadi dari segi usaha (effort), usaha tambahan untuk kita berlawan dengan KL tidak mencukupi.

"Kita tak cukup bagus dari segi kesungguhan, keyakinan untuk bermain dan dari segi pertahanan longgar apabila serangan balas, jadi bahaya dan perlu diatasi segera,” katanya selepas tamat perlawanan yang menyaksikan pasukannya tewas 2-3 kepada KL City FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Selasa.

342360756_260670303048646_5046447952838654325_n

Herlison Caion menjadi wira KL City selepas meletakkan pasukan di depan dalam aksi menentang KDA FC. — Facebook/ MFL

Selain itu, Mohd Nafuzi berkata, kesilapan individu juga masih kerap dilakukan pemain dan perlu diberikan perhatian bagi memperkuat pasukan untuk terus bersaing dalam liga.

"Dalam bola sepak, kita boleh ajar atasi kelemahan mereka, tapi untuk naikkan keyakinan diri, itu atas diri sendiri, itu atas keberanian diri sendiri. Sebab itu kita tengok pemain yang bagus boleh bermain dalam tekanan sebab dia mempunyai keyakinan tinggi dan tak rasa takut... itu kekurangan kita,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih KL City FC, Bojan Hodak berkata, kesebelasan utama yang diturunkan berjaya menggalas tanggungjawab masing-masing dengan baik dan gembira pasukannya dapat meraih tiga mata penuh.

"Saya bangga dengan semua pemain yang menunjukkan prestasi terbaik dan berusaha melakukan lebih baik. Ada beberapa kesilapan yang dilakukan pemain, namun mereka berjaya atasi dengan segera dan berhasil,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram