'Kena potong tang corner', Sang Kenari jadi lauk gulai jenahak The City Boys


  • Podium
  • Selasa, 18 Apr 2023

Sebahagian aksi KDA FC ketika menentang KL City FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Selasa. — Facebook/KL City FC

SKUAD Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dikecewakan di depan penyokong sendiri selepas tewas 2-3 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah, pada Selasa.

Ketua pasukan KL City FC, Paulo Josue meletakkan pasukan pelawat di depan seawal minit ke-11 menerusi jaringan deras ke gawang lawan.

Skuad Sang Kenari tidak menunggu lama untuk menyamakan jaringan apabila Jonathan Balotelli menewaskan penjaga gol KL City FC, Azri Ghani untuk gol pertama KDA FC.

Pasukan Hijau Kuning terus menambah jaringan selepas pertahanan kental Kedah, Bojan Ciger menyambut hantaran daripada tonggak naturalisasi, Lee Tuck dengan menanduk masuk gol kedua pasukan pada minit ke-30.

Kedudukan 2-1 kekal hingga separuh masa pertama berakhir namun jaringan penyerang The City Boys, Romel Morales pada awal babak kedua menyamakan kedudukan kedua-dua pasukan.

Skuad Warga Kota terus bernafsu mencari gol apabila Herlison Caion yang masuk sebagai pemain gantian, pula menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-73 menerusi satu rembatan turning shot yang deras untuk menewaskan Kalamullah Al-Hafiz.

337892038_2006752029697204_7268995543005810319_n

Balotelli menjaringkan gol pertama buat KDA FC dalam aksi menentang KL City pada Selasa. — Facebook / KDA FC

Keputusan itu kekal hingga wisel tamat perlawanan dibunyikan yang menyaksikan KDA FC kendalian Nafuzi Zain tewas dua kali berturut-turut dalam dua aksi terakhirnya.

KDA FC yang sebelum ini berduka atas kekalahan memalukan 0-6 di tangan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) nyata telah meruntuhkan momentum keseluruhan pasukan selain kepercayaan penyokong Hijau Kuning juga dikatakan semakin goyah terhadap pasukan itu.

"Kedah baru nak bangkit kalah lawan JDT tempoh hari, dah tewas lagi kepada KL City FC kali ini. Macam mana moral pemain untuk dapat motivasi bagi mengharungi perlawanan seterusnya," luah seorang penyokong Mat Durso.

"Ni elok dah leading kena potong tang corner. Masuk separuh akhir kedua, nampak depa (pemain) tak pulun pun," ujar Adenan Baharom.

Sementara itu, Faez Razak berpendapat ada tiga pemain KDA FC kurang menyerlah dan tidak memberikan komitmen 100 peratus dalam perlawanan tersebut.

"Kapten pasukan, Manuel Ott banyak game dah tenggelam habis. Lee Tuck rata lari. Yang Wan Amirul Afiq tahun lepas di Melaka bukan main cekang noh, tahun ni hmm belah dia saja kena masuk," katanya.

Terdahulu, pemilik pasukan KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar menyatakan sokongan untuk hadir ke Stadium Darul Aman bagi menyaksikan perlawanan tersebut.

Sebelum perlawanan, beliau membawa pemilik dan pihak pengurusan KL City untuk berbuka puasa gulai ikan jenahak istimewa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram