TONGGAK Sabah FC, Baddrol Bakhtiar membuktikan dirinya masih berbisa apabila menampilkan persembahan bertenaga untuk membantu Sabah menewaskan Kelantan United 2-0 dalam pusingan 16 Piala FA di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Ahad lalu.
Pemain tengah berusia 35 tahun itu menjaringkan gol pada minit ke-13 apabila menanduk masuk hantaran lintang daripada bek kanan, Rizal Ghazali.
Satu lagi gol Sabah FC dijaringkan oleh pemain tengah, Stuart Wilkin pada minit ke-58.
Baddrol memainkan peranan cukup penting sebagai playmaker Sang Badak kerana mencipta banyak peluang selain membuat larian ke dalam kotak untuk menghasilkan gol.
Aksi kapten The Rhinos yang terkenal dengan jolokan Captain Marvel itu dianggap sebagai persembahan terbaik bersama The Rhinos musim ini.
Sebelum ini, dia hanya bermula dalam kesebelasan utama Sabah pada saingan Liga Super menentang Negeri Sembilan FC pada 10 April lalu manakala empat lagi penampilan daripada bangku simpanan.
Bagaimanapun, menjadi watak utama ketika menentang Kelantan United, dia mungkin mendapat permulaan yang lebih kerap.
Justeru, Baddrol menyatakan kesediaan untuk diberikan sebarang peranan oleh pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.
“Saya gembira kami berjaya mara ke suku akhir dan yang paling penting dapat menamatkan tiga perlawanan terakhir tanpa kemenangan sebelum perlawanan ini,” kata bekas pemain Kedah itu.
Sementara itu, Kim Swee gembira dengan kemenangan itu dan berpuas hati dengan rekod bersih pada aksi berkenaan.
“Pemain menunjukkan semangat juang yang hebat dan bermain sebagai satu pasukan,” katanya.
Sabah seterusnya bakal menentang Kelantan dalam saingan Liga Super di Stadium Likas pada Rabu (19 April). — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram