Tuduhan ejen Korea berniat jahat, berbaur fitnah — Kelantan FC


  • Podium
  • Sabtu, 08 Apr 2023

Kelab Pantai Timur itu sedang dalam usaha membangunkan semula reputasi pasukan. — Facebook/TRW Kelantan FC

SELEPAS beberapa hari dihujani kontroversi, pasukan bergelut Liga Super 2023, Kelantan FC memilih untuk mengeluarkan kenyataan rasmi atas pelbagai persoalan yang memenuhi media sosial ketika ini.

"Kelantan FC mengambil serius berkenaan tuduhan-tuduhan liar yang tular di media sosial oleh seorang individu berbangsa Korea yang mengaku dirinya adalah ejen kepada bekas ketua jurulatih Kelantan FC yang telah direhatkan baru-baru ini," tulis kenyataan itu.

Isu tersebut bangkit selepas kelab Pantai Timur itu mengambil keputusan menggugurkan Choi Moon-sik daripada jawatan pengendali pasukan apabila bergelut dalam liga ketika ini.

Hal itu diburukkan dengan hantaran ejen berbangsa Korea Selatan, Leo Jeong yang difahamkan bertanggungjawab menjadi 'orang tengah' ketika pelantikan jurulatih tersebut Januari lalu.

Antara perkara yang didedahkan adalah mengenai isu kebajikan pemain dengan terdapat laporan sebilangan daripada mereka tidak menerima gaji pada tarikh ditetapkan.

Tidak cukup dengan itu, Jeong juga mengatakan pemain skuad The Red Warriors (TRW) tidak diberikan makanan lengkap selain terpaksa menggunakan pengangkutan sendiri menjelang hari perlawanan.

WhatsApp Image 2023-04-08 at 16.01.43

Antara bukti yang dikongsikan dalam kenyataan rasmi kelab baru-baru ini.

Menjawab akan perkara itu, Kelantan FC menegaskan bahawa foto yang dikongsikan ejen berkenaan diambil selepas pemain menikmati juadah disediakan.

"Mengikut bukti simpanan Kelantan FC pemain-pemain Kelantan FC adalah disajikan dengan makanan seimbang cukup dengan karbohidrat seperti nasi dan spegeti, protein daripada ayam dan vitamin daripada buah-buahan," tulis kenyataan itu.

Bagi isu pembayaran gaji pula, kelab berkenaan turut menegaskan dakwaan Jeong hanyalah satu fitnah dengan bayaran tidak akan tertunggak melebihi dua bulan.

"Hakikatnya, dakwaan ini adalah dakwaan palsu dimana pihak kelab adalah sangat komited terhadap isu gaji pemain telah membuat bayaran penuh gaji kepada pemain-pemain dan tidak akan membiarkan sebarang tunggakan gaji melebihi dua bulan seperti dakwaan individu tersebut.

"Justeru itu, Kelantan FC juga ingin mengingatkan kepada pengguna media sosial tempatan untuk berhenti menyebarkan tuduhan-tuduhan daripada individu tersebut dan tidak menyebarkan sebarang fitnah kepada Kelantan FC," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram