Enggan kempunan pingat emas, MSDeaf tertunggu bajet hantar 3 atlet pekak ke kejohanan badminton di Brazil


  • Podium
  • Selasa, 28 Mac 2023

Shin Ruenn yakin bahawa tiga atlet berkenaan mampu meraih pingat berdasarkan prestasi atlet yang tinggi dalam latihan ketika ini. — Facebook

PERSATUAN Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) masih tertunggu-tunggu bajet yang diharapkan untuk menghantar tiga atlet pekak di bawah naungan pihaknya bagi menyertai Kejohanan Badminton Dunia Pekak di Deminas, Brazil pada Julai depan.

Presiden MSDeaf, Ong Shin Ruenn berkata, pihaknya sedang giat berusaha mencari dan merayu penaja tatkala kejohanan itu yang bermula 10 Julai depan, semakin hampir.

“Jika masih tiada bajet dan tanpa bantuan tajaan, kita terpaksa batalkan hasrat untuk menghantar tiga atlet tersebut bertanding di Brazil,” katanya.

Hasrat negara untuk merangkul pingat mungkin tidak kesampaian sekiranya atlet tersebut tidak dapat dihantar menyertai pertandingan itu kerana mereka semua diyakini dapat membawa pulang pingat emas pada kejohanan berkenaan.

Shin Ruenn berpendapat bahawa ketiga-tiga atlet berkenaan iaitu Edmund Teo Seng Keong, Boon Wei Ying dan Foo Zu Tong, menunjukkan prestasi yang tinggi dalam latihan masing-masing.

photo1679981696

Wei Ying (kiri) dan Edmond berharap badan sukan negara dapat mengkaji semula pemberian insentif kepada atlet pekak.

Ketika ini, Edmund dan Wei Ying menjalani latihan bersama manakala Zu Tong berlatih berasingan kerana sedang mengikuti pengajian di Taiwan namun latihannya dipantau oleh MSDeaf.

Berdasarkan prestasi dalam beberapa kejohanan antarabangsa sebelum ini, semua atlet terbabit berjaya membawa pulang pingat sekali gus mengharumkan nama negara.

Ia membabitkan kejohanan seperti Deaflympic Games ke-24 di Brazil pada pertengahan 2022 dan Asia-Pacific Deaf Badminton Championship dari 14 hingga 20 September 2022 di Thailand.

Selain isu bajet dan penajaan, para atlet terbabit juga dibelenggu rasa kurang berpuas hati berhubung pemberian insentif kepada atlet OKU.

Mereka tertanya-tanya mengapa pihak berkuasa sukan negara dilihat seolah-olah ‘pilih kasih’ dari segi pemberian insentif jika seseorang atlet itu berjaya mengharumkan nama negara dengan membawa pulang pingat emas, perak mahupun gangsa.

9146

Edmond (kiri) dan Wei Ying memenangi pingat perak dalam kejohanan Deaflympics 2017 di Samsun, Turkiye. — ADSF

Bagi mereka, atlet pekak tidak harus dibezakan atau diletakkan lebih rendah berbanding atlet orang kurang upaya (OKU) yang lain.

Bagi Edmund, 17, yang menggalas tanggungjawab sebagai pemain perseorangan lelaki pekak negara dan juga beregu campuran, menyertai kejohanan antarabangsa serta mengharumkan nama negara dengan membawa pulang pingat emas sudah menjadi harapan bagi dirinya.

“Saya mahu mencipta nama di peringkat antarabangsa. Biar dunia ketahui bahawa atlet pekak badminton Malaysia adalah antara yang terkuat.

“Soal insentif tidak setaraf atau lebih rendah dari yang diterima berbanding atlet OKU lain, biarlah badan sukan negara fikirkan dan menilai sendiri prestasi serta kejayaan kami,” katanya ketika diwawancara menggunakan perantara jurubahasa isyarat di sebuah pusat latihan di Petaling Jaya, Selangor.

deaflympic-2-960x640

Zu Tong (kiri) dan Wei Ying meraih pingat emas pada Sukan Deaflympic ke-24 di Caxias do Sul pada 11 Mei 2022. — Facebook Team Malaysia

Antara rekod cemerlang Edmund ialah memenangi pingat perak bagi acara beregu campuran di Sukan Olimpik Orang Pekak ke- 24 di Caxias do Sul di Brazil pada 2022.

Dia juga berjaya meraih naib juara perseorangan lelaki di Kejohanan Badminton Orang Pekak Asia-Pasifik ke-3 bawah umur 21 tahun di Pattaya, Thailand pada September tahun sama.

Sementara itu, Wei Ying pula berkata, walaupun insentif diterima tidak sama seperti atlet OKU lain, namun dia tidak pernah berkecil hati kerana yang penting ialah mengharumkan nama negara dan membawa pulang pingat.

Namun begitu, dia mengharapkan badan sukan negara dapat mengkaji semula pemberian insentif itu supaya sama rata bagi mengelakkan rasa kecil hati dalam kalangan atlet pekak.

“Yang penting semangat kesukanan dan atlet pekak dilayan sama seperti atlet OKU lain,” katanya yang pernah memenangi pingat emas dalam bergu campuran bergandingan dengan Edmund di Sukan Olimpik Orang Pekak ke-24 di Caxias do Sul, Brazil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram