Perjalanan masih panjang, JDT enggan dibuai kejayaan awal


  • Podium
  • Khamis, 06 Apr 2023

JDT mencatatkan kemenangan besar 5-0 ke atas Perak FC di Stadium Perak, Ipoh, pada Selasa. — Facebook/ JDT

PENGUASAAN skuad Johor Darul Takzim (JDT) sebagai pendahulu Liga Super sukar dihentikan.

Ini selepas skuad Harimau Selatan terus mencatatkan kemenangan besar 5-0 ke atas Perak FC di Stadium Perak, Ipoh, pada Selasa.

Ketua Jurulatih JDT, Esteban Solari berpuas hati dengan para pemainnya kerana kekal fokus sepanjang 90 minit permainan dengan mengekalkan rekod bersih dalam satu lagi kemenangan besar.

JDT mencipta rekod kelab baharu dengan memenangi tujuh perlawanan pertama liga, menjaringkan 30 gol dan hanya dibolosi sekali setakat ini.

Solari berkata, dia berpuas hati dengan prestasi pasukan dan komited untuk meningkatkan tahap permainan anak-anak buahnya.

“Kami berpuas hati kerana kami sememangnya menjangkakan satu perlawanan yang sukar.

"Ia tidak mudah pada awalnya, namun kami fokus untuk menjaringkan gol awal dan kami berjaya mengawal permainan tersebut,” kata pengendali dari Argentina itu.

339051748_1204787470196821_1752498400720864622_n

Solari berkata, JDT perlu kekal fokus dan bekerja keras kerana perjalanan masih panjang. — Facebook/ JDT

Menurutnya, para pemain memberikan persembahan terbaik dengan jaringan lima gol dan membina perlawanan berintensiti tinggi kepada lawan.

"Setiap perlawanan bertujuan meningkatkan kualiti permainan kami kerana bukan mudah untuk menjaringkan lima gol, kami perlu menguatkan pertahanan dan memberi tumpuan penuh di atas padang,” katanya.

Ujar Solari, bukan mudah untuk menjaringkan lima gol dan tidak dibolosi kerana ia menuntut konsentrasi sepanjang 90 minit permainan.

"Jadi saya gembira kerana setiap pemain kini lebih fokus dan bersedia menghadapi tekanan dengan semangat yang baik.

“Ini adalah bukti bahawa kita berada di landasan yang betul.

“Memenangi tujuh perlawanan pertama adalah rekod baharu untuk kelab. Kami bangga tetapi kami tidak akan terbawa-bawa dengan kejayaan ini.

"Kami perlu kekal fokus dan bekerja keras kerana perjalanan masih panjang," katanya.

Pasukan itu mendahului Liga Super dengan 21 mata, lima mata di depan Selangor dan Kedah Darul Aman FC yang masing-masing mengutip 16 mata.

JDT akan melayani kunjungan Sang Kenari dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 9 April ini. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram