Sri Pahang mahu kekal rekod setanding JDT walaupun hilang 2 tonggak


  • Podium
  • Rabu, 05 Apr 2023

Aguero meraikan jaringan bersama rakan-rakannya ketika menang 4-1 ke atas Kelantan FC. — MFL

BARISAN kejurulatihan Sri Pahang FC sudah merangka perancangan baharu disebabkan kecederaan pemain-pemain utama iaitu Sergio Aguero dan Kevin Ingreso yang akan meninggalkan kesan buat pasukan menjelang perlawanan Liga Super menentang PDRM FC di Stadium Stadium MBPJ, Petaling Jaya, Sekangor pada Rabu.

Setakat ini skuad bimbingan Fandi Ahmad masih belum tewas dalam Liga Super selepas enam perlawanan.

Ia adalah rekod yang menyamai pendahulu liga Johor Darul Takzim (JDT) dan skuad Tok Gajah berharap dapat mengekalkan prestasi cemerlang itu dalam pertemuan menentang PDRM FC.

Pemain naturalisasi Malaysia, Aguero dijangka diketepikan sekurang-kurangnya empat minggu selepas mengalami kecederaan di bahagian kaki.

Manakala Ingreso, pemain kelahiran Jerman yang bermain untuk pasukan kebangsaan Filipina, juga mengalami kecederaan otot kaki selepas kembali dari tugas antarabangsa baru-baru ini.

Bagi jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad, ketiadaan pemain terbabit sedikit sebanyak memberikan kesan kepada pasukan terutamanya di kawasan tengah seperti yang dilihat ketika seri 1-1 menentang Kedah minggu lalu.

“Kami perlu membuat perubahan untuk perlawanan seterusnya. Aguero dan Kevin cedera dan kami tidak tahu berapa lama masa yang diperlukan untuk mereka pulih.

“Jadi mereka sukar untuk menendang bola, berlari dan sebab itu kami menghadapi masalah di bahagian tengah (menentang Kedah) dan saya perlu melakukan beberapa perubahan.

“Memang benar kami berasa kehilangan kerana mereka telah banyak menyumbang kepada pasukan, terutamanya Aguero kerana ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hingga empat minggu untuk dia pulih.

“Bagi Kevin, dia mengadu sakit pada ototnya ketika mula berlatih, jadi kami akan menunggu laporan penuh nanti," katnya.

Keputusan seri 1-1 pada Sabtu menyaksikan Pahang kekal di tangga kelima Liga Super dengan 10 mata manakala Kedah melonjak ke tangga kedua, mengikat Selangor dan Sabah dengan 13 mata.

Penyerang import Brazil Lucas da Silva gagal menyempurnakan sepakan penalti, yang akan menyaksikan Pahang meraih mata penuh tetapi Fandi tidak menyalahkan pemain berusia 33 tahun itu.

“Dia kembali bermain selepas berehat panjang akibat kecederaan dan kini dia boleh membantu memperkuatkan serangan pasukan bersama pemain Liberia Kpah Sherman.

“Lucas tidak mampu memberikan 100 peratus komitmen tetapi mungkin tahap kecergasannya belum kembali ke tahap terbaik.

“Tetapi saya puji keikhlasannya kerana walaupun masih terasa sakit, dia mahu cuba beraksi juga, jadi saya beri peluang.

“Malah ketika pra musim, dia bekerja keras dalam latihan tetapi beberapa hari sebelum liga bermula, dia mengalami kecederaan.

"Alhamdulillah, sekarang dia ada untuk membantu barisan hadapan dengan Kpah (Sherman)," tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram