Lapan stadium termasuk 6 venue Piala Dunia bakal jadi medan aksi HM di Piala Asia


  • Podium
  • Rabu, 05 Apr 2023

Stadium Antarabangsa Khalifa pernah digunakan ketika perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2023. — Agensi

SEBANYAK 24 negara Asia akan bersaing bagi edisi Piala Asia seterusnya yang diadakan di Qatar dari 12 Januari hingga 10 Februari 2024, menurut Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) pada Rabu.

Skuad kebangsaan kali ini merupakan antara pasukan yang bertanding di kejohanan tersebut selepas menundukkan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir kelayakan Kumpulan E di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jun lalu.

Lebih menarik pada Piala Asia ke-18 itu akan diadakan di lapan stadium, dengan enam daripadanya pernah digunakan bagi Piala Dunia yang mana Argentina menjulang trofi kemenangan.

Venue berkenaan ialah Stadium Al Janoub, Stadium Al Bayt, Stadium Ahmed Bin Ali, Stadium Al Thumama, Stadium Education City , Stadium Antarabangsa Khalifa serta Stadium Jassim bin Hamad dan Stadium Abdullah bin Khalifa.

Kesemua stadium itu, kecuali Stadium Jassim bin Hamad dan Stadium Abdullah bin Khalifa sebelum ini pernah digunakan ketika kejohanan Piala Dunia 2022.

“Kami tahu Jawatankuasa Penganjur Tempatan dan Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) akan menjadi tuan rumah yang mampu memberi layanan kepada tetamunya. Kami sudah menyaksikan QFA dan Pihak Berkuasa Qatar menganjurkan Piala Dunia FIFA terbaik dalam sejarah bola sepak.

“Kami yakin mereka akan mempamerkan keupayaan tuan rumah yang tiada tandingan dengan infrastruktur terkini dan layanan mesra yang sangat dikagumi di seluruh dunia,” kata Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa.

Sebelum ini, Qatar menjadi tuan rumah bagi Piala Asia sebanyak dua kali, pada 1988 dan 2011 dan ia memenangi kejohanan yang terakhir di Emiriah Arab Bersatu pada 2019.

Sementara itu, majlis cabutan rasmi untuk Piala Asia AFC Qatar 2023 akan diadakan di Katara Opera House, Doha pada 11 Mei 2023 dengan jadual perlawanan rasmi juga dijangka diumumkan sejurus selepas undian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram