Coach 'cilik' nampak kelemahan ketara barisan pemain TFC


  • Podium
  • Isnin, 03 Apr 2023

TFC masih memiliki kelemahan dalam aspek tertentu antaranya ketumpulan bahagian serangan. — Facebook/TFC

AKSI Liga Super ke-6 melibatkan pertembungan antara Terengganu FC (TFC) dan Kelantan United menyaksikan pasukan tuan rumah mencatatkan kemenangan 2-1 namun komentar ‘jurulatih’ cilik usai perlawanan mencuri perhatian penyokong.

Ramakan tersebut dimuat naik di Facebook Terengganu FC menerusi segmen 'Andai kata saya coach' bersama penyokong cilik Terengganu yang dikenali sebagai Hasif.

Dalam satu temubual, Hasif yang berusia sembilan tahun berpuas hati dengan persembahan pasukan kesayangannya itu setelah berhasil meraih kemenangan yang cukup bermakna.

Malah, Hasif turut mengakui bahawa skuad Terengganu kini memiliki barisan pemain yang baik dan berkebolehan, namun perlu dibekalkan dengan tiga elemen penting sebagai sebuah pasukan.

“Saya tengok persembahan Terengganu kali memang best.

“Kalau saya jadi jurulatih TFC, penjaga gol hinggalah ke posisi penyerang sudah baik, tapi kalau skuad baik namun tak ada tiga ini tak guna juga.

"Kena ada mentaliti, fokus dan juga teamwork (semangat berpasukan),” katanya dalam interviu bersama TFC Play.

Hasif juga sempat berseloroh untuk mengambilnya sebagai pemain sekiranya mahu Terengganu bermain dengan lebih baik.

Sementara itu, di ruangan komen, seorang penyokong, Muhamad Fazrol juga mengemukakan pendapat sama dengan Hasif.

338768961_253735187171852_8215888139223878587_n

TFC sebagai pasukan tuan rumah mencatatkan kemenangan 2-1 ketika menentang Kelantan United FC. — Facebook/ TFC

"Mentaliti, semangat berpasukan dan fokus perkara utama yang perlu ada pada setiap pemain TFC. Tiga perkara ini (nampak) tiada pada pemain TFC sekarang.

"Mentaliti untuk kemenangan tak berapa nak nampak lagi. Kerjasama pun kurang. Kebanyakan nak main skil individu dan tamak depan gol.

"Yang ketiga kurang fokus menyebabkan Terengganu FC bolos mudah selepas mendahului. Bagus adik Hasif ni, nampak kelemahan ketara yang ada pada sebahagian pemain," katanya.

Terengganu kini berada di tangga ke-8 Liga Super dan bakal bertemu musuh tradisi, Kelantan FC dalam aksi Derbi Pantai Timur, 4 April ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram