MASALAH pembayaran gaji menghantui pemain Melaka United FC (MUFC) dan Sarawak United FC (SUFC) selepas mereka gagal melunaskan tunggakan gaji pemain masing-masing.
Difahamkan Melaka United FC yang kini ditukar nama kepada Harimau Melaka (HM) mempunyai tunggakan gaji lebih RM1 juta manakala Sarawak United pula kurang RM500,000 terhadap 20 pemain daripada kedua-dua kelab berkenaan.
Isu yang berlarutan itu tentunya mengganggu persiapan menyambut Ramadan dan Aidilfitri dalam kalangan pemain beragama Islam.
Manakan tidak, bagi pemain HM, mereka dibelenggu tunggakan gaji sehingga enam bulan bermula Julai sehingga Disember musim lalu.
Syazwan (kiri) dan Fadhli Shas (tengah) merupakan pemain pinjaman MUFC dari skuad JDT II. — Facebook
Bagi pemain SUFC pula, pengurusan pasukan gagal menjelaskan gaji pemainnya yang menyebabkan mereka berdepan dengan situasi lima bulan tidak bergaji.
Sebelum ini, pemain HM, Syazwan Andik mendedahkan dia dan rakan sepasukan sudah lima bulan tidak menerima sebarang gaji ketika berkhidmat dengan MUFC musim lalu.
Hal tersebut menyebabkan mereka mengalami masalah melangsaikan komitmen bank dan menyara kehidupan keluarga.
Justeru pemain itu pasti berharap perkara tersebut dapat diselesaikan lebih-lebih lagi kedua-dua kelab terbabit akan dibicarakan di peringkat Badan Penyelesaian Pertikaian Nasional (NDRC) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 6 April ini.
Tangkap layar hantaran Instagram Story Syazwan Andik. — Instagram
Syazwan yang juga pemain pinjaman JDT ke Sri Pahang FC musim ini, turut berharap pembayaran tunggakan gaji itu akan memberikan sinar menjelang sambutan hari raya nanti.
"Moga ada sinar nak raya," kongsi Syazwan dalam entri yang dimuat naik daripada Instagram Story @aidiabd73 pada Khamis.
Untuk rekod, Syazwan Andik dipinjamkan dari pasukan JDT II ke MUFC pada musim lepas. Untuk musim ini, pemain pertahanan kiri berusia 26 tahun itu dipinjamkan ke skuad Tok Gajah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram