'Bank call hari-hari', Syazwan Andik tak puas hati pemilik Melaka diam isu gaji tertunggak 5 bulan


  • Podium
  • Isnin, 28 Nov 2022

Syazwan (kiri) dan Fadhli Shas (tengah) merupakan pemain pinjaman MUFC dari skuad JDT II. — Facebook

PENGHUJUNG musim 2022 suram buat pemain Melaka United FC (MUFC) yang kini ditukar nama kepada Harimau Melaka (HM). Tidak hanya tersingkir daripada Liga Super edisi 2023, pasukan itu masih terpalit kontroversi tunggakan gaji.

Sebelum ini, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) memaklumkan tunggakan itu melibatkan pembayaran gaji bagi Jun dan Julai lepas serta sebahagian baki pembayaran pada Januari.

Berbaki beberapa hari sebelum memasuki bulan Disember, masalah pembayaran gaji rupanya masih menghantui pemain HM selepas dilaporkan ada pemain yang tidak menerima bayaran masing-masing sejak September lalu.

Terbaharu, bintang HM, Syazwan Andik mendedahkan dia dan rakan sepasukan sudah lima bulan tidak menerima sebarang gaji hingga mengalami melangsaikan komitmen bank.

Menerusi laman Instagram miliknya, pemain berusia 26 tahun itu mendedahkan dia ada menghubungi pemilik Melaka United, Datuk Seri Justin Lim namun usaha itu menemui kegagalan.

WhatsApp Image 2022-11-27 at 19.15.20

Tangkap layar Instastory Syazwan Andik berhubung tunggakan gaji MUFC. — Instagram

“Bila kami mesej tidak dibalas, hanya dibaca. Bila kami hubungi tidak dijawab. Nak berdiam sahaja pemilik Melaka ni. Bila tanya Melaka United Soccer Association (MUSA) mereka cakap sudah tiada kena mengena.

“Sudah lima bulan kami tidak bergaji. Komitmen banyak tertunggak. Pihak bank hubungi hari-hari. Nak sara keluarga lagi. Nak minta tolong siapa lagi?,” katanya.

Syazwan turut meminta PFAM, Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memandang berat serta mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu tersebut.

Isu tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan menjadi punca utama kelab itu disingkirkan daripada beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Sementara itu, jurucakap FAM ketika dihubungi Majoriti meminta Syazwan membuat laporan rasmi kepada badan induk itu berhubung masalah tunggakan gaji lima bulan yang dihadapi.

"Laporan sama juga perlu dibuat kepada PFAM," katanya.

Untuk rekod, Syazwan Andik dipinjamkan dari pasukan Johor Darul Takzim (JDT) II ke MUFC pada musim ini. Berdasarkan transfermarkt.com, kontraknya bersama pasukan Hang Tuah berakhir pada 30 November 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram