Diyakini beraksi Piala Asia bersama HM, Corbin Ong tetap 'humble' baiki prestasi diri 


  • Podium
  • Khamis, 30 Mac 2023

Antara aksi Corbin bersama skuad kebangsaan ketika aksi persahabatan menentang Hong Kong pada Selasa. — Instagram/Corbin

PERTAHANAN kental Johor Darul Takzim, La'vere Corbin Ong membuktikan bahawa dia adalah bek kiri nombor satu negara selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam perlawanan menentang Turkmenistan dan Hong Kong.

Pemain berusia 31 tahun yang kini sudah mempunyai 24 caps bersama Malaysia, menunjukkan mobiliti yang sangat baik, bergerak ke atas dan ke bawah dengan mudah walaupun usianya semakin meningkat.

Walaupun ramai yang sudah mengatakan bahawa kedudukannya terjamin untuk Piala Asia tahun depan di Qatar namun Corbin tidak mengambil mudah.

Pemain warisan negara itu masih kekal bermotivasi untuk memperbaiki dirinya di peringkat kelab dan antarabangsa.

''Saya cuba memperbaiki diri setiap hari dan saya tidak pernah berhenti melakukannya sebagai seorang profesional.

“Mana-mana kedudukan dalam pasukan adalah sangat kompetitif dan kami mesti memberikan permainan terbaik kami setiap masa,'' katanya.

Corbin memainkan peranan penting dalam membantu pasukan mengekalkan rekod bersih dalam perlawanan menentang Turkmenistan (1-0) dan Hong Kong (2-0).

WhatsApp Image 2023-03-30 at 17.58.14

Selain cemerlang bersama Harimau Malaya, Corbin juga membuktikan kebolehannya dengan mencetak dua jaringan gol untuk JDT. — Instagram/Corbin

Dia bagaimanapun tetap merendah diri dengan persembahan individunya dan mengatakan ia adalah usaha berpasukan.

“Ia bukan hanya pertahanan. Seluruh unit iaitu penjaga gol, pemain pertahanan, pemain tengah, pemain sayap dan juga penyerang memainkan peranan mereka dalam membantu kami mengekalkan rekod bersih.

“Pemain baharu, warisan semula jadi dan campuran seperti Paulo (Josue), Endrick (dos Santos) dan Nooa (Laine), telah sebati dengan kami.

“Semua orang adalah rakyat Malaysia dalam pasukan sekarang dan kami bersatu untuk mencapai kemenangan,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram