PEMAIN perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia mengakui akhirnya jatuh cinta semula dengan badminton.
Itu adalah sentimen yang dinyatakan oleh pemain nombor empat dunia itu selepas kekalahan separuh akhir 19-21, 13-21 kepada Shi Yuqi dari China di kejohanan All-England di Arena Utilita, Birmingham pada Sabtu.
Zii Jia berada dalam fasa menderita sebelum All-England yang mana dia mengalami prestasi buruk termasuk penyingkiran pusingan awal dalam enam pertandingan individu terakhirnya.
Malah, mesej di laman Instagramnya, "Saya... selesai." selepas kekalahan awal di Terbuka Jerman jelas menunjukkan kekecewaannya.
Pemain berusia 24 tahun itu mengakui bahawa dia kini berada dalam keadaan yang jauh lebih baik berbanding beberapa bulan lalu.
“Sebelum ini, ada satu tempoh yang agak tertekan bagi saya, malah pada satu ketika saya rasa saya sudah tidak mencintai badminton.
“Setiap kali saya melangkah ke gelanggang, saya akan bermasam muka dan tidak selesa dengan diri sendiri.
“Jadi saya sangat gembira untuk jatuh cinta semula dengan badminton di sini (Birmingham),” kongsi juara All-England 2021 itu dalam temu bual selepas perlawanan.
Selain itu, Zii Jia mengakui sokongan berterusan daripada peminatnya adalah satu lagi sebab untuk menyukai permainan itu lagi.
“Birmingham adalah istimewa kerana saya sentiasa mendapat sokongan padu daripada semua peminat di sini, walaupun ketika saya bermain semasa pandemik Covid-19 (pada 2020 dan 2021) dan ini membuatkan saya jatuh cinta kembali dengan sukan itu,” katanya.
Zii Jia sentiasa berjaya bangkit di All-England, setelah mara ke separuh akhir dalam perlawanan sebelumnya pada 2020 dan 2022.
Bercakap mengenai bahagian yang perlu perbaiki untuk bergerak ke hadapan, Zii Jia berkata, dia akan memperbaiki lagi taktiknya.
“Selain itu, antara yang saya perlu diperbaiki ialah gelanggang hadapan saya, kawalan di bahagian net serta penggunaan gelanggang belakang.
“Ini adalah untuk perkembangan keseluruhan saya pada masa hadapan dan bukan hanya apabila saya berdepan Yuqi lagi,” ujarnya.
Kejohanan seterusnya untuk Zii Jia ialah Terbuka Switzerland yang bermula Selasa di Basel.
Anak jati Kedah itu perlu membuat persiapan sebaiknya kerana dia diundi untuk menghadapi pemain nombor 14, Li Shifeng dari China pada pusingan pertama. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram