Selain Arif Aiman, 4 anak buah Kim Pan-gon pernah dikaitkan dengan kelab luar negara


  • Podium
  • Sabtu, 25 Mac 2023

Arif Aiman berjaya menarik perhatian Kashiwa Reysol yang beraksi dalam Liga utama Jepun.

BARU-BARU ini pemain sayap Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi dilihat berjaya menarik perhatian sebuah kelab J1 League, Kashiwa Reysol yang tampil cemerlang sejak musim lalu.

Menerusi beberapa laporan daripada media tempatan di Jepun, Kashiwa sudah pun menunjukkan minat untuk membawa masuk Arif Aiman ke negara matahari terbit itu.

Pemain berusia 20 tahun itu merupakan pemain utama bersama Harimau Selatan yang beraksi cukup cemerlang ketika membantu JDT di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Arif Aiman

Arif Aiman ketika bertemu Selangor FC baru-baru ini. Facebook/JDT

Pemain Paling Bernilai (MVP) dua tahun berturut-turut Liga Malaysia (Liga M) itu menjaringkan tiga gol dan mencatat 13 bantuan gol dalam semua kejohanan domestik musim lalu termasuklah ketika menentang Kawasaki Frontale dan juga Urawa Red Diamonds di ACL.

Namun bukan Arif Aiman sahaja yang pernah dikaitkan untuk beraksi dengan pasukan dari luar negara.

Ini merupakan empat anak buah Kim Pan-gon yang pernah mendapat tawaran beraksi dengan kelab bola sepak di luar negara.

Akhyar

Akhyar Rashid. Facebook/FAM

1. Akhyar Rashid - Bate Borisov (Belarus)

Jaringan tunggal Akhyar Rashid membenarkan skuad kebangsaan memperoleh kemenangan 1-0 ke atas Turkmenistan dalam aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail, Johor pada Khamis.

Adakah anda masih ingat, Akhyar juga pernah menarik minat kelab gergasi Belarus, Bate Borisov untuk membawanya ke sana.

Menerusi satu kenyataan di laman Facebook Football Agent- Malaysia pada 2019, juara Liga Perdana Belarus musim 2018 itu berminat untuk menguji pemain sayap lincah dalam masa terdekat selepas tertarik dengan potensi yang dimiliki pemain muda itu.

Namun perpindahan itu dilihat menemui jalan buntu apabila Akhyar kini masih kekal beraksi bersama JDT buat tahun yang kelima.

Faisal Halim. Facebook/FAM

2. Faisal Halim - Tawaran dari Portugal

Perkhabaran ini terjadi selepas Faisal Halim menampilkan aksi cemerlang dalam perlawanan persahabatan bersama Harimau Malaya pada 2021.

Faisal yang ketika itu beraksi bersama Terengganu FC (TFC) dikatakan mendapat perhatian dari dua ejen bola sepak luar negara.

Berita itu dimaklumkan pengguna Twitter yang menggunakan nama, Joe Berbatov dan memperkenalkan dirinya sebagai ejen kepada Faisal iaitu dari syarikat Estrada Sports Agency.

“Saya mendapat dua panggilan dari ejen luar negara untuk Faisal Halim selepas perlawanan persahabatan antarabangsa negara menentang Jordan baru-baru(2021) ini," tulisnya

Perkongsiannya di media sosial itu mendapat perhatian ramai peminat khususnya penyokong skuad Penyu yang dilihat agak bimbang sekiranya Faisal berhijrah.

Namun Faisal mendedahkan memang pernah ada tawaran dari kelab Portugal tapi urusan itu dilihat tidak serius.

Tetapi kebimbangan penyokong Terengganu itu tetap berlaku kerana Faisal pada musim ini memilih untuk menyertai Selangor FC.

Sikh Izhan. Facebook/FAM

3. Sikh Izhan - CF Fuenlabrada (Sepanyol)

Penjaga gol muda Negeri Sembilan FC, Sikh Izhan pernah berpeluang mencipta nama di bumi Eropah apabila dia menjalani sesi percubaan bersama kelab Sepanyol, CF Fuenlabrada pada 2021.

Malah CF Fuenlabrada turut berpuas hati dengan prestasi dan permainan Sikh Izhan sepanjang sesi ujian yang dijalankan itu.

Namun selepas tempoh percubaan itu, Sikh Izhan dilihat kembali ke Selangor dan tidak berhijrah ke Sepanyol meskipun kelab CF Fuenlabrada berpuas hati dengan prestasinya.

Musim ini Sikh Izhan dipinjamkan ke Negeri Sembilan FC dari Selangor dan beraksi cemerlang sehingga mendapat panggilan skuad kebangsaan buat pertama kalinya.

Safawi Rasid. Facebook/ Ratchaburi F.C

4. Safawi Rasid - FC Zurich (Switzerland)

Bukan sahaja Portimonense S.C. dari Portugal yang berminat untuk mendapatkan khidmat Safawi Rasid ketika tempoh cemerlangnya pada 2020.

Malah beberapa pasukan dari luar negara seperti FC Zurich turut pernah mengintai khidmat pemain berusia 26 tahun itu.

Perkara ini didedahkan sendiri pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ)dalam satu sesi No Hold Barred pada 2019 bahawa ada beberapa kelab daripada Switzerland berminat untuk meminjam pemain daripada JDT.

“Kita juga ada beberapa pemain yang menarik minat kelab daripada Switzerland, FC Zurich yang mana mereka mahu meminjam pemain JDT," kata TMJ.

Kini Safawi beraksi bersama Ratchaburi F.C di Liga Thailand dan baru-baru ini berjaya menjaringkan gol pertamanya bersama kelab itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram