Diasah tapi makin tumpul, 3 penyerang import dijangka ‘ghaib' Julai nanti


  • Podium
  • Sabtu, 25 Mac 2023

Lira antara penyerang yang mendapat kritikan daripada penyokong. — Facebook/KDAFC

APABILA musim baharu tiba, posisi penyerang akan mendapat perhatian lebih banyak daripada yang bahagian lain kerana rata-ratanya ingin mengetahui siapakah individu akan memikul tanggungjawab sebagai ‘mesin pencetak gol’ buat pasukan.

Seperti senario yang berlaku di Liga Malaysia (Liga M), setiap awal musim penyerang baharu akan dihujani dengan kata-kata pujian dan kebanyakkan penyokong akan meletakkan harapan setinggi gunung kepada mereka.

Namun suasana positif itu tidak bertahan lama untuk sesetengah penyerang kerana prestasi tidak menentu yang ditonjolkan dari penampilan pertama sehingga ke beberapa perlawanan selepas itu.

Musim 2023 juga menyaksikan beberapa tonggak baharu terutamanya import mulai menjadi bahan bualan penyokong dan ada yang menuntut agar pemain tersebut direhatkan ataupun digugurkan pada jendela perpindahan kedua Julai nanti.

Berikut Majoriti menyenaraikan tiga penyerang import yang dijangka ‘ghaib’ pada Julai nanti atas faktor masalah prestasi;

1) Willian Lira (KDA FC)

lira

Aksi Lira juga dikritik oleh pengendali legenda, Azraai Khor Abdullah. — Facebook/KDAFC

Ketika desas-desus mengenai kemasukan Willian Lira ke Kedah Darul Aman (KDA) FC, ramai penyokong Sang Kenari yakin bahawa pemain berusia 29 tahun itu bakal menjadi pencabar peledak berbisa Johor Darul Takzim (JDT), Bergson Da Silva.

Mana tidaknya, rekodnya ketika bersama kelab divisyen dua Liga Jepun iaitu Ventforet Kofu sehingga membantu kelab tersebut memenangi trofi Emperor’s Cup sudah cukup menyakinkan penyokong Sang Kenari.

Namun kini, pemain dari Brazil itu menjadi mangsa makian penyokong kerana masih gagal menjadi seorang penyerang tulen dan menyumbang jaringan buat pasukan di Utara tanah air itu.

Lira yang sudah mengharungi lima perlawanan bersama Kedah hanya mampu mencetak dua jaringan gol dan rekod tersebut masih tidak cukup untuk menganggapnya sebagai senyerang berbisa Sang Kenari.

Oleh itu, ada segelintir pihak sudah mulai meneka bahawa Lira tidak lagi menyarung jersi Kedah pada jendela perpindahan kedua nanti dan mungkin akan digantikan dengan penyerang baharu.

2) Nuha Marong (Kelantan FC)

nuha marong

Nuha kini diturunkan beraksi bersama skuad bawah 23 tahun Kelantan FC. — Facebook/TRW

Kehadirannya ke bumi Darul Naim seperti memberi harapan baharu penyokong Kelantan FC terutamanya selepas pemilik kelab itu Norizam Tukiman memberikan 'hint' untuk membawa seorang pemain import dari Afrika.

Nuha yang berasal dari Gambia iaitu negara di benua selatan Afrika mempunyai pengalaman beraksi di setiap divisyen Liga Sepanyol kecuali Liga utama negara itu.

Namun prestasi pemain yang pernah menyarung jersi Gambia itu nampaknya menghampakan penyokong kerana gagal memberi impak positif buat pasukan The Red Warriors (TRW).

Statistik pada laman Transfermarkt yang memaparkan dia hanya diturunkan dalam satu perlawanan dengan catatan 74 minit permainan dan tanpa menjaringkan sebarang gol, sudah cukup membuktikan Nuha bukan penyerang yang dicari Kelantan.

Selain tidak sesuai beraksi dengan skuad utama, Nuha juga menjadi kritikan penyokong Kelantan kerana gagal menjaringkan gol walaupun berlawan dengan pemain-pemain muda dalam Piala MFL ketika menentang Negeri Sembilan FC.

3) Ivan Mamut (Terengganu FC)

ivan

Ivan dikritik berikutan kegagalannya untuk mencetak gol buat TFC. — Facebook/TFC

Tonggak import dari Croatia, Ivan Mamut pada awalnya diramal akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Kpah Sherman selepas pemain tersebut memutuskan untuk berhijrah ke Sri Pahang FC.

Sebelum ini, Ivan yang berusia 25 tahun itu pernah beraksi bersama kelab Football Club SB (FCSB) dalam Liga Romania dan membuat 13 penampilan dan satu gol dengan kelab tersebut.

Namun, harapan untuk melihat pemain berketinggian 1.92 meter (m) itu menjadi mimpi ngeri lawan nampaknya gagal dan sebaliknya kini memusnahkan impian penyokong yang ingin menyaksikan skuad Penyu berada di kedudukan teratas liga.

Gara-gara tidak tahan dengan prestasi Ivan, ada penyokong Terengganu sanggup menunjukkan sikap biadap terhadapnya dan mengutuk pemain itu ketika dia sedang membeli-belah di sebuah pasar raya.

Untuk rekod Ivan hanya tampil dalam tiga aksi Liga Super dan kelibatnya di padang latihan juga sudah mulai tidak kelihatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram