Azeem Fahmi raih kejuaraan sulung di Florida


  • Podium
  • Sabtu, 25 Mac 2023

Azeem meninggalkan sembilan pesaing lain untuk mencatatkan masa 10.32 saat. — Twitter

PELARI sensasi olahraga negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi membuktikan kemampuannya apabila berjaya menjuarai acara 100 meter (m) pada kejohanan Florida State University (FSU) Relays yang diadakan di Tallahassee, Florida, Amerika Syarikat.

Lebih manis buat pelajar berusia 18 tahun di Universiti Auburn itu, ia merupakan kali pertama Azeem menyertai acara 100m yang menyaksikan sebelum ini dia sudah membuat tiga penampilan bagi acara 60m dalam dewan.

Perkembangan terkini mengenai kemenangan Azeem itu dimuat naik laman Twitter Auburn Track & Field.

Pada acara yang berlangsung awal pagi Sabtu, Azeem pantas meninggalkan sembilan pesaing lain untuk mencatatkan masa 10.32 saat.

Satu catatan masa yang jauh meninggalkan dua lagi pesaing terdekat iaitu Andre Ewers (10.49s) dan Trei Thorogood dari Universiti Syracuse (10.51s).

Meskipun tidak berjaya meraih catatan masa seperti diharapkannya iaitu bawah 10.20s, kejayaan Azeem menjuarai kejohanan ini mampu meningkatkan lagi semangatnya untuk terus memperbaiki prestasi sejak mula berlatih bersama universiti yang terletak di Alabama, sejak Januari lalu.

Azeem mencipta sensasi pada Ogos 2022 selepas memecahkan rekod kebangsaan acara 100m dengan melakar catatan masa 10.09s pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia.

Kali terakhir Azeem beraksi dalam acara 100m ialah di temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang mana anak muda itu merekodkan catatan 10.25s.

Untuk rekod, prestasi Azeem melonjak tinggi sejak berada di bawah asuhan legenda olahraga dunia, Ken Harnden. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram