
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menjangkakan pengadil tempatan akan mendapat lesen untuk mengendalikan video bantuan pengadil (VAR), sekali gus memastikan teknologi itu dapat digunakan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata, seramai 30 pengadil dan pembantu pengadil akan dihantar untuk mengikuti kursus VAR dalam masa terdekat, lapor Stadium Astro.
“Kami memohon dengan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dalam urusan mendapatkan lesen VAR ini.
“Satu perjumpaan lanjut bersama Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FIFA, Pierluigi Collina, akan diadakan untuk melihat kelancaran proses keperluan VAR.
“Kami harap seawal bulan Ogos nanti, pengadil kita akan dapat lesen kerana dengan lesen itu membolehkan pengadil mengendalikan VAR,” katanya.
Terdahulu, FAM memaklumkan VAR akan mula diperkenalkan dalam saingan Liga M musim ini tetapi tidak secara menyeluruh kerana ia memerlukan latihan dan beberapa siri ujian terhadap teknologi itu.
Hamidin berkata, FAM dan badan pentadbir, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), mengenal pasti beberapa vendor VAR yang diiktiraf oleh FIFA.
“Sasaran MFL adalah dua aksi separuh akhir dan final Piala Malaysia. Kami tidak boleh terus lakukan untuk banyak perlawanan kerana ia melibatkan kos yang tinggi,” ujarnya.
Nazmi Nasarudin (tengah) antara individu terawal akan dilengkapi dengan pengetahuan mengenai VAR. — Agensi
Hamidin turut memaklumkan bahawa pengadil, Nazmi Nasarudin, dan dua pembantu pengadil antara individu terawal akan dilengkapi dengan pengetahuan mengenai VAR sebagai persiapan mereka ke Piala Dunia 2026.
“Kami akan hantar Nazmi dan pasukannya selama dua minggu menjalani latihan dan pelesenan VAR untuk dia dapatkan lesen awal,” katanya lagi.
Sebelum ini, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) merancang untuk memasang teknologi VAR berspesifikasi penuh selepas menukar rumput Zeon Zoysia. — Stadium Astro
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram