Ada pemain gagal kejar, tak ikut rentak permainan


  • Podium
  • Jumaat, 24 Mac 2023

Pan-gon berkata, para pemain Harimau Malaya perlu memperbaiki kecergasan kerana ia sangat penting dalam permainan. — Facebook

KETUA jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon mempersoalkan keupayaan pemainnya dalam mengekalkan prestasi optimum selepas Malaysia menang tipis dengan Turkmenistan 1-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor, pada Khamis.

Jurulatih Korea Selatan berusia 53 tahun itu berkata, perlawanan intensiti tinggi seperti perlawanan menentang Turkmenistan menuntut kekuatan mental dan fizikal, serta disiplin dan kerja berpasukan yang tinggi.

Menurut Pan-gon, dia banyak menuntut daripada pemain sekali gus membuatkan sebahagian mereka terpaksa bergelut untuk mengekalkan rentak.

"Saya tidak merungut, tetapi berapa lama kita boleh mengekalkan permainan sebegini? Permainan seperti ini menuntut kekuatan fizikal, mental, disiplin dan kerja berpasukan. Saya menuntut banyak larian, tekanan dan peralihan, sesetengah (pemain) tidak dapat mengejar, jadi kita kena perbaiki kerana kecergasan permainan adalah sangat penting.

"Saya memahami bahawa ini adalah permulaan musim dan mereka hanya bermain beberapa perlawanan. Selain itu, keadaan cuaca sukar, lembap dan ia adalah hari pertama Ramadan. Secara keseluruhan kami menang menentang pasukan ranking ke-135 berturut-turut. Saya rasa kita akan lebih baik menjelang Jun dan September, mudah-mudahan,” katanya pada sidang media.

337126413_749002009926924_723798785746104086_n

Sebahagian persembahan pemain Harimau Malaya ketika menentang Turkmenistan. — Facebook

Dalam pertembungan di Stadium Sultan Ibrahim yang menjadi gelanggang laman sendiri Johor Darul Takzim (JDT), pemain sayap Harimau Selatan, Muhammad Akhyar Abdul Rashid muncul wira skuad kebangsaan selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-29.

Ini merupakan kemenangan kedua Malaysia terhadap Turkmenistan selepas menundukkan The Green, 3-1 dalam aksi Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jun tahun lepas.

"Saya rasa mereka lebih sukar berbanding Jun lalu, dari segi fizikal mereka lebih kuat. Saya fikir mereka melakukan persiapan yang lebih baik kali ini. Ia perlawanan yang sukar dan kami melakukan beberapa kesilapan. Tetapi ia bagus jika sekiranya kami dapat menjaringkan tiga atau empat gol,” katanya.

Pan-gon turut memuji penjaga gol Turkmenistan, Rasul Charyyev kerana persembahan cemerlangnya yang menafikan beberapa peluang terbaik pasukan negara sepanjang 90 minit.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Turkmenistan, Mergen Orazov yang dilantik bulan lalu berpuas hati walaupun tewas pertama kali di pentas antarabangsa dalam mengemudi pasukan kebangsaan.

"Kami datang ke sini agak lewat dan liga kami belum bermula jadi dari segi fizikal, pemain masih belum cergas sepenuhnya, ya pemain bersemangat tinggi, tetapi kecergasan mereka belum capai tahap terbaik. Saya beritahu pemain, jika kalah dalam perlawanan pertama adalah baik untuk kami, supaya kami tidak bersenang-lenang...saya percaya pasukan ini boleh mencapai sesuatu yang hebat.

"Malaysia adalah pasukan yang mantap dan mempunyai pemain yang hebat...sebab itulah kami memilih untuk bermain dengan Malaysia, banyak perkara yang perlu dipelajari dan dibangunkan memandangkan kualiti yang dimiliki pasukan itu,” kata jurulatih berusia 34 tahun itu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram