TONGGAK naturalisasi baharu negara, Paulo Josue berpuas hati dengan persembahan yang diberikan pasukan Harimau Malaya dalam aksi menentang Turkmenistan pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1, yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Khamis.
Malaysia beroleh kemenangan 1-0 menerusi jaringan pemain sayap lincah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid yang muncul wira pasukan bimbingan Kim Pan-gon, apabila menjaringkan gol kemenangan pada separuh masa pertama.
Paulo Josue berkata, masih ada ruang buat skuad Harimau Malaya untuk melakukan penambahbaikan menjelang aksi menentang Hong Kong pada 28 Mac ini.
"Saya gembira dan saya rasa pasukan Harimau Malaya sudah melakukan yang terbaik untuk persembahan kali ini.
"Tentunya ada ruang untuk penambahbaikan dan kita ada masa lagi beberapa hari untuk berlatih sebelum aksi bertemu Hong Kong.
"Kita akan analisis semula permainan ini untuk lihat apa yang boleh ditambah baik tapi saya berpuas hati dapat beraksi dengan pemain lain dalam satu pasukan," katanya dalam temu bual bersama Astro Arena selepas perlawanan.
Percubaan Akhyar untuk membuat rembatan gol ke gawang lawan pada aksi menentang Turkmenistan. — Facebook
Bintang pasukan KL City FC itu mengakui ramai pemain tengah yang berkualiti dalam Harimau Malaya dan semua bersedia untuk membantu pasukan.
"Ramai pemain tengah yang berkualiti, saya pasti semua dapat membantu pasukan cuma perlu cari posisi masing-masing dan terserah kepada jurulatih untuk memilih pemain dalam ksebelasan utama.
"Kami saling membantu dan menyokong satu sama lain, jadi apa yang penting ketika ini ialah kami bermain seperti satu pasukan, satu keluarga," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai aksi 'mesin baharu' Harimau Malaya tersebut, panelis jemputan Astro Arena iaitu jurulatih berpengalaman, B Sathianathan dan Datuk Zainal Abidin Hassan berpendapat ia layak diberi rating 8/10.
Sebahagian persembahan Paulo Josue ketika aksi sulung bersama Harimau Malaya ketika menentang Turkmenistan. — Facebook
"Berada dalam padang, kita banyak buat serangan berbahaya, jadi saya bagi 8/10.
"Kita puas hati (dengan persembahan yang ditunjukkan) untuk separuh masa pertama.
"Nampak apa yang Kim Pan-gon mahukan berlaku kerana kualiti pemain yang dia ada pada babak pertama tapi kita tak boleh harap pemain B masuk dan bagi sama dengan pemain A.
"Ini yang kita nampak ada sedikit kekurangan. Pemain ini perlu sampai ke satu tahap yang dikehendaki oleh jurulatih," kata Zainal Abidin.
Bekas pemain kebangsaan, Safee Sali pula memberi rating 7/10 kerana berpendapat Paulo Josue kurang memanfaatkan kelebihan membuat hantaran dengan kaki kirinya.
"Dia boleh beri hantaran dengan kaki kiri, saya tahu dia boleh, sepakan percuma pun dia boleh beri lebih daripada itu tapi ini game pertama dia bersama Harimau Malaya jadi kena fahamlah," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram