Dilabel hero dalam dan luar padang, cara JDT ucap terima kasih kepada penyokong wajar jadi contoh kelab lain


  • Podium
  • Rabu, 22 Mac 2023

Sebahagian daripada pemain JDT ketika membersihkan rumah-rumah yang terjejas akibat banjir. — Facebook/JDT

SELAIN daripada melakukan rutin latihan, pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) juga memanfaatkan cuti mereka dengan melakukan kunjungan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Sri Medan, Batu Pahat, Johor pada Selasa.

Perkara itu dikongsikan menerusi laman Facebook rasmi skuad Harimau Selatan yang menyaksikan sebahagian daripada pemain menyertai Yayasan JDT, Boys Of Straits dan Southern Volunteers membantu mangsa banjir.

Antara pemain Harimau Selatan yang turut serta dalam program tersebut adalah Farizal Marlias, Afiq Fazail, Nathaniel Shio Hong Wan, S.Kunanlan serta empat bintang import iaitu Diogo Luis Santo, Lowry Shane Thomas, Juan Muniz dan Fernando Forestieri.

Selain beramah mesra dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa bencana banjir, para pemain JDT serta sukarelawan turut melakukan kerja amal dengan membersihkan rumah-rumah yang terjejas ketika bencana tersebut.

Sesi meluangkan masa bersama mangsa banjir di Sri Medan, Batu Pahat itu membuatkan ramai penyokong memberi pujian kepada skuad Harimau Selatan terutamanya pemain yang sanggup turun padang untuk beramah mesra dengan warga tempatan.

pemain jdt

Antara pemain JDT yang hadir membantu penduduk Sri Medan. — Facebook/JDT

Penyokong berpendapat aktiviti tersebut wajar dijadikan contoh kelab tempatan lain kerana ia juga merupakan satu cara untuk berterima kasih kepada peminat yang tidak putus-putus memberikan sokongan kepada pasukan.

"Cara pemain berterima kasih kepada penyokong. Penyokong sentiasa menyokong pemain. Erti dan realiti bangsa Johor, terima kasih Johor Southern Tigers," komen penyokong JDT, Xiong Lee WA.

"Padat betul jadual pemain JDT ini ya...ada cuti pun diisi dengan program-program kebajikan yang lain....memang patutlah hujung tahun TMJ bagi cuti dan rehat cukup-cukup dekat pemain ini semua...mantap," tulis penyokong Harimau Selatan, Siti Zaleha Mohd Salleh.

"Alhamdulillah, tahniah terima kasih, kalian bukan sahaja hero di padang tetapi hero di hati kami, kedatangan yang mengembirakan kerusuhan hati kami yang dilanda banjir, terima kasih," kongsi peminat Harimau Selatan, Arpah Madon.

Awal bulan ini, penduduk Sri Medan diuji dengan kemusnahan harta benda sehingga menyaksikan banyak rumah warga tempatan ditenggelami bah.

Berdasarkan laporan media tempatan, lebih 85,000 rakyat Johor dilaporkan terjejas akibat bencana banjir tersebut yang disifatkan antara terburuk pernah berlaku dengan Batu Pahat menjadi daerah paling terjejas teruk membabitkan kira-kira 50,000 mangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram