'Saya rakyat Malaysia', Paulo Josue sedia jadi arkitek Harimau Malaya


  • Podium
  • Rabu, 22 Mac 2023

Paulo Josue. — Facebook/FAM

PENYOKONG bola sepak Malaysia telah menyaksikan jaringan-jaringan menarik oleh Paulo Josue sepanjang dia bersama Kuala Lumpur City FC.

Kini pemain baru naturalisasi kebangsaan, Paulo Josue tidak sabar untuk mengulangi jaringan sama untuk Harimau Malaya dan sedang memahami corak latihan Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan-gon.

Pemain berusia 33 tahun ini kini sayangkan kehidupannya sebagai rakyat Malaysia.

Josue HM

Paulo Josue pertama kali menyertai latihan skuad kebangsaan. — Facebook/FAM

“Saya gembira dan berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada pasukan.

“Saya mahu melakukan sesuatu untuk negara. Saya berharap dapat memberikan persembahan yang baik.

“Saya sedang menyesuaikan diri dengan sistem dan gaya jurulatih Kim Pan-gon. Semuanya berjalan dengan baik.

“Dahulu, saya pernah berkata, saya menghabiskan 30 tahun sebagai warga Brazil. Sekarang, saya rakyat Malaysia.

“Saya suka dengan budaya dan negara ini. Saya akan biasa dengannya.

“Bagi ‘Negaraku’, saya telah mendengar lagu itu selama enam tahun dan saya perlahan-lahan mempelajarinya. Saya tidak sabar untuk membuat debut untuk negara baharu saya," katanya.

Kim Pan-gon

Kim Pan-gon memanggil dua pemain naturalisasi baharu skuad kebangsaan. — Facebook/FAM

Ramai yang percaya Paulo Josue bakal menjadi arkitek pasukan kebangsaan kerana dia mempunyai naluri menyerang, walaupun begitu dia tetap mahu melakukan sesuatu demi kejayaan pasukan.

“Saya tidak boleh memberi jaminan bahawa saya boleh menyelesaikan masalah itu tetapi saya akan berusaha dan cuba menyelesaikannya.

"Kualiti memang ada dan pemain lain boleh memainkan peranan itu juga," jelasnya.

Rakan sebiliknya ialah seorang lagi pemain naturalisasi baru, Endrick dos Santos yang mana Pan-gon ingin mencuba kedua-dua pemain kelahiran Brazil itu bersama skuad kebangsaan.

Endrick dos Santos. — Facebook/FAM

Josue berkata, bersama Endrick dia berasa seronok kerana mereka sentiasa bermain menentang satu sama lain dalam liga.

“Kami tidak pernah bermain bersama tetapi saya sangat menyukai gaya permainannya.

“Kami telah bermain menentang satu sama lain selama lima hingga enam tahun.

“Saya harap kami dapat memberikan persembahan yang baik untuk pasukan.

“Semuanya bergantung kepada kepercayaan jurulatih.

“Jika dia memilih saya untuk kesebelasan utama, saya akan cuba memberikan yang terbaik dan membantu pemain," luahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram