Dion Cools optimis, kukuhkan kubu elak gawang Harimau Malaya bocor


  • Podium
  • Rabu, 22 Mac 2023

Dion Cools ketika ditemubual oleh media semasa sidang media Malaysia lawan Turkmenistan. — Facebook/FAM

KAPTEN Harimau Malaya, Dion Cools mengingatkan rakan sepasukan agar tidak mudah melakukan kesilapan yang membolehkan Turkmenistan mengambil kesempatan untuk mencipta gol apabila kedua-dua pasukan dijadualkan bertembung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Khamis.

Menurut laporan Flash Sukan, Cools mahu memastikan benteng pertahanan dikawal rapi bagi elak dibolosi pasukan Turkmenistan.

Pemain pertahanan Buriram United itu dijangka bergandingan bersama Shahrul Saad bagi menjaga benteng pertahanan Harimau Malaya sambil Syihan Hazmi bakal diberi kepercayaan menjaga gawang gol pasukan kebangsaan.

“Kami akan mengawal kubu daripada bolos dan sebagai pemain pertahanan kami akan elak buat silap.

“Saya juga akan guna segala pengalaman beraksi dalam pelbagai liga bagi membantu rakan-rakan sepasukan,” katanya.

Malaysia akan berdepan dengan Turkmenistan, pasukan yang berada di ranking ke-135, lebih tinggi berbanding Malaysia yang di kedudukan ke-145.

Cools menambah, langkah Pan-gon membawa pemain-pemain baharu dalam skuad kali ini juga akan memperkukuhkan lagi pasukan dan menambah kualiti agar menjadi lebih baik.

“Saya berkeyakinan kualiti yang ada ini boleh memastikan Malaysia mencapai matlamat yang dimahukan oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon,” jelasnya. — Flash Sukan

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram