ERIC ten Hag memuji kekuatan yang dimiliki skuad Manchester United selepas menewaskan Real Betis 1-0 awal pagi Jumaat sambil berseloroh betapa dia berasa lega apabila tiada pemainnya dibuang padang dalam pertemuan itu.
Gol tunggal Marcus Rashford pada awal babak kedua sudah cukup untuk United melangkah ke suku akhir Liga Europa (UEL) dengan kelebihan agregat 5-1.
Berbekalkan kelebihan tiga gol yang dibawa daripada perlawanan pertama pusingan 16 minggu lalu, Ten Hag buat kali pertama menamakan Facundo Pellistri dalam kesebelasan utama sambil Tyrell Malacia dan Harry Maguire turut diberikan peluang.
Marcel Sabitzer, Anthony Elanga, Victor Lindelof, Jadon Sancho dan Diogo Dalot turut dimasukkan dalam babak kedua, yang mana Ten Hag menggunakan sepenuhnya pemain barisan keduanya.
"Saya fikir kesemua pemain telah melakukan yang terbaik," katanya kepada BT Sport.
"Mereka yang dibawa masuk menunjukkan prestasi yang baik. Kami bukan sahaja memiliki 11 pemain, kami memiliki satu skuad."
Bagaimanapun, walaupun gembira bercakap mengenai kekuatan skuadnya, Ten Hag berasa lega apabila tidak kehilangan sebarang pemain menjelang aksi suku akhir berkenaan.
Ditanya mengenai perkara yang paling menggembirakannya dalam kemenangan itu, pengurus berbangsa Belanda itu berkata: "Tiada kad merah, tiada kecederaan. Kami memiliki skuad yang besar tetapi tidaklah terlalu besar." — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram