
KEJAYAAN pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mencatat kemenangan ke atas Kelantan United FC (KUFC) pada Isnin, disifatkan cukup berharga untuk terus memburu kedudukan kelompok teratas dalam saingan Liga Super musim ini.
Penolong jurulatih KDA FC, Victor Andrag berkata, kemenangan 3-2 ke atas pasukan lawan di laman sendiri memberi suntikan semangat kepada pasukannya selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam aksi sebelum ini.
"Kemenangan ini membangkit semula moral pasukan selepas tewas sebelum ini yang sedikit sebanyak mengganggu momentum anak buah saya.
"Apabila kita peroleh tiga mata penuh pastinya kita akan terus bersaing untuk merapatkan jurang dengan pasukan yang berada di kelompok teratas liga," katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, Kelantan pada Isnin.
Selepas empat perlawanan, KDA FC berada di kedudukan keempat dengan meraih empat mata hasil satu kemenangan, satu seri dan dua kekalahan, manakala KUFC terus berada di tangga tercorot dengan hanya mengutip satu mata.
Kesebelasan utama KDA FC sewaktu menentang KUFC pada Isnin. — Facebook/KDAFC
Victor berkata, pemainnya perlu menampilkan aksi yang konsisten pada perlawanan seterusnya dalam usaha merebut kedudukan teratas itu.
Sementara itu, Ketua jurulatih KUFC, Tomas Trucha berkata, walaupun gagal meraih tiga mata penuh di tempat sendiri, beliau tidak menyalahkan sepenuhnya barisan benteng pertahanan.
"Saya tidak menyalahkan pemain pertahanan kerana penyerang kami juga perlu bermain lebih baik dalam perlawanan akan datang.
"Kami mempunyai peluang yang baik untuk menyumbat lebih banyak gol namun penyerang kami gagal memanfaatkan peluang dan kami kalah,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram