'Welcome to the club', selain Nafuzi Zain, ada 2 lagi insiden coach dihalau keluar padang di Liga M


  • Podium
  • Selasa, 14 Mac 2023

Musim ini, Nafuzi menjadi pengendali pertama yang dilayangkan kad merah dari pengadil.  — Facebook/KDAFC

KEBIASAANNYA dalam sukan bola sepak, layangan kad merah ataupun kad kuning akan diberikan kepada pemain yang melakukan kekasaran, tindakan bahaya dan melawan keputusan pengadil.

Meskipun agak janggal namun layangan kedua-dua kad itu bukan sahaja diberikan kepada pemain yang beraksi kerana pengadil juga mempunyai kuasa untuk melayangkannya kepada pegawai pasukan, barisan pemain simpanan dan juga jurulatih pasukan.

Senario mengejutkan apabila layangan kad merah diberikan kepada pengendali pasukan yang mana pengadil akan mengarah jurulatih berkenaan untuk keluar padang atas faktor seperti membantah keputusan mereka.

Dalam saingan liga domestik juga pernah mengalamai situasi yang mana beberapa ketua jurulatih Liga Malaysia (Liga M) diperintahkan keluar padang dan ada di antara mereka disifatkan gagal untuk mengawal emosi.

Berikut Majoriti menyenaraikan tiga pengendali Liga M dihalau keluar padang paling diingati di Liga M;

1) Nafuzi Zain

nafuzi zain kad merah

Insiden yang berlaku di antara Nafuzi dan pegawai keempat perlawanan sehingga menyebabkannya dilayangkan kad merah.

Musim pertama Nafuzi Zain bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC bermula dengan buruk apabila dia buat pertama kalinya dilayangkan kad merah pada aksi kekalahan 0-1 KDA FC kepada PDRM FC di Stadium Darul Aman, Sabtu lalu.

Dalam video tular di media sosial, jurulatih berusia 44 tahun itu kelihatan seperti mencekik penjaga garisan dan situasi berkenaan dilakukannya beberapa kali.

Insiden kontroversi itu dapat dikesan oleh pengadil utama perlawanan, Mohd Azizan Saat Ariffin yang mana tidak teragak-agak untuk melayangkan kad merah kepada Nafuzi pada minit ke-70.

Dalam satu laporan media, bekas jurulatih Terengganu itu tampil memohon maaf kepada pihak pihak pengurusan, pemain dan penyokong skuad Hijau Kuning diatas insiden kad merah yang terimanya itu.

2) Datuk Ong Kim Swee

kim swee kad merah

Kim Swee dilayangkan kad merah. — Facebook

Selepas merekodkan tiga kemenangan berturut-turut, Sabah FC terpaksa menerima hakikat hanya mampu meraih keputusan seri 1-1 dengan Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, pada Sabtu.

Bukan sahaja kecewa terpaksa berkongsi mata dengan Tok Gajah, Sabah FC juga menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap mutu pengadilan selepas pengadil tidak memberikan sepakan penalti kepada The Rhinos,

Penyokong dan pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berpendapat Sabah FC layak mendapat sepakan penalti selepas Darren Lok dijatuhkan oleh salah seorang pemain Sri Pahang sehingga terjatuh di dalam kotak penalti.

Disebabkan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap insiden itu, layangan kad merah diberikan pengadil perlawanan, Noor Azriel Baharuddin kepada pengendali The Rhinos, Kim Swee pada minit ke-68 perlawanan.

Pengendali berusia 52 tahun itu enggan memberi sebarang komen kerana menyedari ia hanya akan mengundang masalah kepadanya jika membantah keputusan pihak pengadil.

3) Tomas Trucha

THOMAS

Trucha dilayangkan kad merah sewaktu aksi Penang FC menentang JDT pada musim 2021.

Pengendali Kelantan United FC (KUFC), Tomas Trucha juga pernah terpalit dengan insiden diarah keluar padang sewaktu dia mengendali pasukan Penang FC pada musim 2021.

Insiden layangan kad merah tersebut berlaku kepada Trucha ketika skuad Harimau Kumbang tewas 0-3 di tangan pasukan gergasi, Johor Darul Takzim (JDT) bagi saingan Liga Super.

Pada penghujung permainan, pengendali dari Republik Czech itu dilayangkan kad merah oleh kerana bertindak untuk memasuki padang dan membantah keputusan pengadil perlawanan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penilaian Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika itu, Datuk Sivasundaram berkata, tindakan ke atas Trucha diambil adalah selaras dengan undang-undang permainan 20/21 di bahagian tindakan disiplin FAM. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram