Kena 'boo' di negara sendiri, bekas pengendali JDT tak putus asa, mahu terus berjuang bersama pasukan


  • Podium
  • Isnin, 13 Mac 2023

Atlas kini menghuni kedudukan ke-16 dalam saingan Liga MX. — Agensi

NAMA Benjamin Mora dikenali sebagai jurulatih Johor Darul Takzim (JDT) paling berjaya dalam sejarah kelab dengan mengemudi empat kejuaraan Liga Super Malaysia, empat Piala Sumbangsih, satu Piala Malaysia dan membawa Harimau Selatan ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC pada tahun lepas.

Namun langit tidak selalunya cerah buat Mora apabila dia kini mendapat kecaman habis-habisan daripada penyokong pasukannya iaitu Atlas FC susulan prestasi buruk mereka.

Selepas meninggalkan JDT pada Julai 2022, Mora dilantik sebagai pengendali baharu kelab Liga Mexico, Atlas FC namun kini dia menjadi mangsa ejekan penyokong Atlas.

Atlas kini mengalami detik yang buruk dalam saingan Liga MX dan juga dalam Liga Juara-Juara Concacaf sehinggakan penyokong memberi ejekan 'boo' kepada Mora selepas kekalahan 0-1 di tangan 0-1 Leon di Stadium Jalisco pada Sabtu.

mora

Mora masih ingin mengemudi pasukan Atlas.

Meskipun dikecam teruk, pengendali berusia 43 tahun itu tidak terfikir untuk meninggalkan Atlas dan akan sentiasa fokus untuk memberikan terbaik buat pasukan itu.

“Kami tidak menyentuh perkara itu, lembaga pengarah tahu apa yang ada dalam fikiran mereka, saya mengabdikan diri untuk bekerja.

“Sejak saya dilahirkan saya tidak berputus asa apa-apa. Selagi saya lihat pemain sanggup berjuang untuk memulihkan keadaan kelab, saya akan teruskan,” katanya pada sidang media selepas kekalahan itu.

Untuk rekod, Atlas kini menghuni kedudukan ke-16 dari 18 pasukan dalam saingan Liga MX dengan hanya merekodkan satu kemenangan, enam seri dan empat kekalahan sepanjang 11 perlawanan setakat ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram