'Don't ask me, ask the viewer', Kim Swee jawab insiden layangan kad merah


  • Podium
  • Isnin, 13 Mac 2023

Barisan pengadil yang mengadili perlawanan antara Sabah FC dan Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur pada Ahad. — Facebook

SABAH FC tidak berjaya mengekalkan momentum kemenangan selepas keciciran mata penuh apabila sekadar seri 1-1 dalam perlawanan menentang Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada Ahad.

Perlawanan itu juga agak tegang dengan layangan kad merah diberikan pengadil perlawanan kepada pengendali The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee pada minit ke-68 perlawanan.

Kad merah itu dilayangkan oleh pengadil, Noor Azriel Baharudin, yang bertindak tegas dengan menyingkirkan Kim Swee berhubung insiden di bangku simpanan ketika tempoh permainan bersisa 25 minit.

Difahamkan, layangan kad itu dipercayai diberikan kerana tindakan jurulatih kelahiran Melaka itu yang membantah keputusan pengadil dengan kata-kata tidak sepatutnya.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee ketika sidang akhbar selepas perlawanan cukup kecewa dengan mutu pengadilan namun beliau enggan mengulas lanjut dan menyerahkannya kepada penonton untuk membuat penilaian.

334991141_871390040598622_1116912464397886672_n

Kim Swee dilayangkan kad merah. — Facebook

Beliau berkata, dia akan berada dalam keadaan bahaya sekiranya memberi sebarang komen terhadap mutu pengadilan yang sepatutnya Sabah FC diberikan sepakan penalti.

“Pengadil sentiasa betul, anda fikir pengadil sentiasa salah. Kita tunggulah.

"Saya rasa Astro adalah siaran langsung sebentar tadi. Don't ask me, ask the viewer (tanya orang yang menyaksikan siaran langsung perlawanan) itu sama ada ada foul atau tidak.

"Saya tidak akan jawab mengenai mutu pengadilan. Jika anda tengok balik video itu... bagi saya nampak jelas (tapi) anda tengoklah.

"Anda meletakkan saya dalam bahaya. Saya sudah pun berada dalam bahaya,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan Sri Pahang FC bertemu Sabah FC yang disiarkan di Twitter Astro Arena.

Biarpun sedikit terjejas dengan insiden kad merah tersebut, Kim Swee yakin penyokong Sabah FC akan memihak kepadanya dan terus berdiri di belakang pasukan apabila mereka kembali bermain di halaman sendiri.

Untuk rekod, selain Noor Azriel, pengadilan perlawanan dibantu penolong pengadil, Muhammad Shafiq Ahmad Said dan Azri Rozaimie Abu Bakar manakala pegawai keempat, Mohamad Kamil Zakaria Ismail. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram