Demi anak buah, Daud Bakar janji hadir ke Darul Aman ketika aksi menentang Penang FC


  • Podium
  • Ahad, 05 Mac 2023

Daud Bakar (kiri) dilihat cukup bersemangat untuk menghidupkan semula zaman kegemilangan KDA FC. — Facebook/KDA FC

KEKALAHAN mengejut dialami Kedah Darul Aman (KDA) FC ketika berdepan PDRM FC jelas menjadi topik perbincangan utama penyokong bola sepak tanah air.

Manakan tidak, prestasi menarik yang dipamer skuad Sang Kenari ketika dua aksi pembukaan Liga Super memberi harapan bahawa mereka mampu menjadi pencabar kepada Johor Darul Takzim (JDT).

Bagaimanapun, dalam pertembungan yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah pada Sabtu itu, jaringan penyerang skuad Sang Saka Biru, Bruno Suzuki memisahkan kedua-dua pasukan.

Namun, apa yang menarik perhatian adalah keputusan pengadil perlawanan yang melayangkan kad merah terhadap pemain tengah KDA FC, Manuel Ott yang melakukan kekasaran.

Perkara itu disusuli dengan tindakan yang dilakukan ketua jurulatih Sang Kenari, Nafuzi Zain yang dilihat kurang berpuas hati dengan keputusan berkenaan.

Kehilangan kedua-dua tonggak pasukan itu pastinya melunturkan semangat pemain yang bakal berdepan Penang FC dalam peringkat awal Piala FA yang bakal berlangsung pada Rabu.

WhatsApp Image 2023-03-05 at 17.54.53

Manuel Ott (kanan) dilayangkan kad merah ketika pertembungan bersama PDRM FC. Facebook/KDA FC

Jadi, dalam usaha memastikan semangat skuad Sang Kenari terus berkobar-kobar, pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar berjanji akan hadir ke Stadium Darul Aman, Kedah untuk menonton aksi tersebut.

"Saya akan datang balik ke Alor Setar pada Rabu untuk perlawanan Sang Kenari dengan Penang FC," katanya menerusi satu hantaran di Instagram peribadinya.

KDA FC terpaksa memulakan kempen Piala FA dengan lebih awal apabila menamatkan kempen Liga Super musim lepas di kedudukan kelapan.

Dalam masa sama, Daud Bakar turut mengulas mengenai insiden kad merah yang dilihat sebagai antara punca skuad Sang Kenari pulang dengan tangan kosong.

"Adapun insiden dan isu kad merah kepada kapten KDA FC dan jaringan oleh PDRM dari sepakan percuma dengan bola yang masih bergerak, kita semua boleh buat interpretasi masing-masing.

"Rakaman dua insiden ini akan menjadi simpanan arkib dalam lipatan sejarah bola sepak negara selama-lamanya," tegas Daud Bakar.

Usahawan kelahiran Kedah itu sah bergelar pemilik kelab Oktober lalu selepas skuad Sang Kenari berdepan satu musim yang cukup mengecewakan dengan isu pengurusan dan kewangan berbangkit.

Semangatnya untuk membantu kebangkitan pasukan Utara tanah air itu dibuktikan apabila pelbagai pelaburan dibuat ketika jendela perpindahan lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram