TFC perlu waspada ancaman 3 serangkai KL City


  • Podium
  • Sabtu, 04 Mac 2023

TFC masih gagal mengutip sebarang mata daripada dua perlawanan pertama Liga Super 2023. — Facebook

SKUAD Penyu tidak mempunyai pilihan selain wajib menang ke atas Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi Liga Super, malam Ahad, kata Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) Tomislav Steinbruckner.

Steinbruckner berkata, selepas dua kekalahan berturut-turut, pasukannya tidak boleh lagi keciciran mata jika mahu bangkit daripada menghuni tangga terbawah liga.

Pengendali kelahiran Croatia itu turut menggesa supaya pemain memperagakan prestasi terbaik dan memanfaatkan aksi di laman sendiri, untuk menghadiahkan tiga mata pertama buat penyokong skuad Penyu.

"Selepas tewas kepada JDT (Johor Darul Takzim) dan Kedah (Kedah Darul Aman FC), kami tidak mempunyai pilihan lain kecuali untuk menang dengan KL City FC, bagi kedudukan lebih baik di Liga Super.

"Jadi ia satu perlawanan besar dan penting selepas dua perlawanan di tempat lawan. Saya percaya dan berharap para pemain dapat lakukan yang lebih baik daripada dua perlawanan sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak, Terengganu.

333883595_732999091774921_6010031656348356419_n

Skuad The City Boys dibarisi ramai pemain berkualiti. — Facebook

Dalam pada itu, Steinbruckner berkata, dia masih perlu meneliti prestasi dan keadaan beberapa pemain yang cedera, sebelum menentukan kesebelasan utama yang akan diturunkan nanti.

Menurutnya, sebagaimana Kedah dan JDT, skuad The City Boys juga dijangka memberi cabaran sengit kepada TFC, kerana dibarisi ramai pemain berkualiti.

"Ini juga satu perlawanan yang kami jangka sukar. Kipre Tchetche, Declan Lambert, Herlison Caion...mereka semuanya pemain yang bagus yang perlu kami perhatikan,” katanya.

TFC yang masih gagal mengutip sebarang mata daripada dua perlawanan, menduduki tangga ke-13 Liga Super manakala KL City FC berada di tangga kesembilan dengan satu mata. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram