'Pengganti Syihan' dah keluar hospital tapi belum tentu boleh turun lawan JDT


  • Podium
  • Jumaat, 03 Mac 2023

Sikh Izhan terbaring di atas padang dan memerlukan bantuan pegawai perubatan ketika NSFC menentang Penang FC, 1 Mac lepas. — Facebook

PADA aksi kedua Liga Super antara Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Penang FC pada 1 Mac lepas, penjaga gol skuad Jang, Sikh Izhan terpaksa diusung keluar padang akibat pertembungan dengan pemain lawan.

Sikh Izhan berlaga dengan pemain sayap Penang FC, Rahmat Makasuf yang menyaksikan tonggak utama NSFC itu tidak dapat meneruskan permainan selepas perlu dibawa ke hospital menaiki ambulans.

Tanpa Sikh Izhan, Negeri Sembilan yang ketandusan mata perlawanan selepas seri dalam dua perlawanan terakhir, perlu memperkemaskan benteng pertahanan agar tidak mudah dibolosi lawan dalam perlawanan akan datang.

Cabaran NSFC bertambah getir lagi-lagi pasukan kendalian K Devan itu bakal beraksi menentang gergasi Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) pada 6 Mac nanti di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

FqI2TdRaAAMeK9u

Ambulans terpaksa dibawa masuk ke padang susulan kecederaan yang menimpa Sikh Izhan ketika NSFC menentang Penang FC. — Twitter

Pertemuan itu antara perlawanan yang ditunggu-tunggu kerana ia bakal menyaksikan debut Sikh Izhan selaku penjaga gol utama NSFC dengan Syihan Hazmi, bekas penjaga gawang pasukan yang berhijrah ke JDT musim ini.

Menerusi satu hantaran di Instagram Story pada Jumaat, Sikh Izhan memaklumkan dia dapat kembali bekerja sekali gus memberi bayangan akan beraksi dalam perlawanan menentang JDT, Isnin ini.

"Back to work (Kembali beraksi)," tulisnya pada sekeping foto yang menunjukkan suasana lapangan terbang.

WhatsApp Image 2023-03-03 at 15.32.24

Tangkap layar IG Story Sikh Izhan pada Jumaat yang dikongsikan laman State of Nine FC. — Facebook

Namun dengan keadaan Sikh Izhan yang mungkin masih belum pulih sebenarnya, ada kemungkinan dia kembali menjalani latihan padang seperti biasa namun belum tentu mendapat kecergasan semula bagi aksi menentang JDT.

"Daripada Insta Story ni bermaksud dia balik kerja... tapi jangan berharap dia main Isnin ni ya. Kita cuma boleh doakan dia supaya kembali cergas untuk game seterusnya," tulis laman penyokong State of Nine FC.

Dengan ketidaktentuan tahap kecergasan Sikh Izhan, para penyokong perlu berlapang dada jika penjaga gol bawah 23 tahun negara itu bermula dari bangku simpanan pada perlawanan terbabit.

Pemain muda berusia 22 tahun itu kini menjadi sandaran utama skuad Hobin Jang Hobin di posisi penjaga gol menggantikan Syihan Hazmi yang berhijrah ke skuad Harimau Selatan musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram