'Casual' bola sepak sukar dikenal pasti, tapi ada 3 ciri utama


  • Podium
  • Jumaat, 03 Mac 2023

Golongan casual sering hadir ke stadium untuk melakukan provokasi terhadap penyokong lawan.

KEKECOHAN yang berlaku ketika pertemuan antara Perak FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Ipoh, Perak Februari lalu sedikit sebanyak mencalarkan imej Liga Malaysia.

Walaupun tiada kecelakaan nyawa berlaku, ia sedikit sebanyak membuktikan bahawa masalah tersebut masih tidak diselesaikan secara mendalam.

Sebagai respons terhadap perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsudin mengambil keputusan untuk membuat laporan kepada pihak polis.

Bagaimanapun, amaran awal yang cuba ditunjukkan itu dilihat gagal memberi impak seperti mana yang diharapkan apabila ia sekali lagi berulang.

Ketika Johor Darul Takzim (JDT) bertandang ke Stadium Cheras, Kuala Lumpur (KL) pada Rabu, terdapat laporan bahawa bas penyokong diserang.

Berdasarkan perkongsian di media sosial, kenderaan mereka dibaling batu dan objek keras sehingga menyebabkan cermin pecah, namun tiada kecederaan serius berlaku.

Menurut beberapa luahan mangsa, perkara tersebut berpunca daripada kehadiran golongan kasual yang sememangnya turun dengan tujuan melakukan kekacauan.

Dalam landskap bola sepak tempatan, kesemua pasukan dilihat berdepan masalah itu, termasuk JDT yang lebih dikenali sebagai Johor Casual League.

298292399_604573854573404_181749984697236492_n

Golongan casual sebelum pertemuan antara JDT II dan Perak FC dalam Liga Perdana musim lalu. Facebook/Supporter_indomalay

Meskipun kegiatan mereka semakin reda beberapa tahun kebelakangan ini, dua insiden yang berlaku dalam dua perlawanan awal Liga Super memberi amaran bahawa isu tersebut bakal berulang.

Bagi penyokong yang turun ke stadium untuk memberi sorakan kepada pasukan masing-masing, mereka pasti berhasrat untuk tidak berada terlalu hampir dengan golongan casual bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

Walaupun keberadaan dan kehadiran mereka sukar dihidu, terdapat tiga ciri penting yang boleh dikenal pasti untuk membezakan mereka dengan peminat setia bola sepak.

1. Pakaian hoodie

Berdasarkan pemerhatian sebelum ini, golongan tersebut sering membanjiri stadium dengan pakaian serba gelap selain mengenakan hoodie.

Antara sebab utama mereka mengenakan pakaian itu adalah untuk menyukarkan pihak berkuasa daripada mengenal pasti identiti mereka dengan lebih mudah.

Sebagai contoh, kumpulan yang sebelum ini dikaitkan dengan JDT iaitu Inter Johor Firms (IJF) dikatakan lebih kerap memakai baju sedemikian setiap kali berlaku kekecohan.

Tambahan pula, 'samseng' bola sepak itu juga dikatakan kerap membawa kain sekiranya membanjiri stadium dengan tujuan untuk meloloskan diri dengan lebih mudah.

Kini, beberapa tindakan lebih tegas mula diambil pihak keselamatan pasukan Liga Malaysia apabila mereka kerap menyemak barangan yang dibawa sebelum diberikan akses ke dalam stadium.

Ia dilihat bersesuaian dengan usaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mahu mengurangkan penggunaan suar seperti mana kerap berlaku pada era penswastaan kelab awal dekad lalu.

Jadi, sekiranya anda menyedari bahawa terdapat sekumpulan penyokong yang mengenakan hoodie serba gelap, anda dinasihatkan untuk lebih berhati-hati.

2. Kedudukan dalam stadium

Seperti mana yang kita ketahui, kebanyakan stadium di negara ini menyediakan kawasan khas buat 'ultras' bagi meningkatkan lagi semangat pemain di atas padang.

Mereka dilihat kerap berkedudukan sekelompok bagi membolehkan sorakan dilaungkan dengan lebih jelas di samping memudahkan arahan diterima daripada ketua masing-masing.

Walaupun ada yang mengaitkan mereka dengan golongan casual, pendapat tersebut sama sekali tidak benar kerana ultras tidak melakukan kekacauan secara fizikal.

Kehadiran golongan casual merencatkan perkembangan bola sepak tempatan. Facebook/Mrr Ayei

Jadi, sekiranya anda berada berdekatan dengan kawasan khas di dalam sesebuah stadium, terdapat kemungkinan bahawa samseng tidak berdekatan.

Tambahan pula, ketika insiden yang berlaku di Stadium Ipoh tempoh hari, golongan casual Perak tidaklah bersama-sama pihak ultras sepanjang perlawanan.

Pemerhatian awal mendapati mereka duduk berkelompok, namun masih berada dalam kalangan penyokong lain dengan tujuan untuk merancakkan lagi kekacauan itu.

3. Golongan muda

Berdasarkan video yang dimuat naik mengenai kekecohan daripada golongan casual, didapati majoriti daripada mereka masih muda.

Menurut perkongsian, 'penyokong' sebegini adalah lebih bersemangat untuk melakukan kekacauan selain tidak terlalu terkesan sekiranya ditahan pihak berkuasa.

Tambahan pula, melihat kepada beberapa keping foto yang dimuat naik IJF sebelum ini, ada daripada mereka masih merupakan pelajar sekolah menengah.

Oleh itu, sekiranya anda mula mendapati terdapat kelompok pemuda yang cuba melakukan provokasi, adalah lebih baik sekiranya tidak meluangkan masa di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, adalah satu pandangan yang serong sekiranya penyokong bola sepak tanah air terlalu mudah untuk melabel seseorang yang muda dengan golongan casual apabila sukan tersebut mula mendapat tempat dalam setiap pelusuk masyarakat negara ini.

Jadi, penyokong yang berhasrat untuk menonton pasukan masing-masing di stadium dinasihatkan untuk lebih berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan gangguan pihak kurang bertanggungjawab itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram