'Darah dibalas darah,' geng kasual jadi punca kelab penyokong, legenda Malaysia 'diserang'


  • Podium
  • Isnin, 29 Ogos 2022

Tangkap layar video tular pergaduhan antara penyokong KL City dan PSM Makassar selepas perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu. — Facebook Semuanya Bola

SELEPAS kejayaan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) menang 5-2 ke atas PSM Makassar, berlaku kekecohan di luar perkarangan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur pada Rabu lalu.

Pergaduhan yang dikatakan membabitkan pemain ke-12 KL City FC dan PSM Makassar selepas tamat final Piala AFC Zon Asean itu menyaksikan ada beberapa penyokong kelab Indonesia mengalami kecederaan selain bas yang membawa mereka dilontar dengan batu sehingga menyebabkan kenderaan tersebut rosak.

Kejadian itu dipercayai berpunca akibat tindakan 'geng kasual' yang berperangai seperti samseng bola sepak dan tidak mewakili mana-mana kumpulan penyokong sama ada KL City atau PKM Makassar.

Pergaduhan itu tidak berakhir di Stadium Cheras kerana laman penyokong skuad Warga Kota masih menjadi serangan dari peminat PSM Makassar dengan komen-komen bertulis “Awas, darah dibalas darah”.

Bukan itu sahaja, penyokong skuad Ikan Merah itu juga membanjiri komen-komen berbaur kecaman terhadap laman kelab yang disangka berkaitan dengan KL City seperti pasukan Liga M3 iaitu Kuala Lumpur Rovers FC (KL Rovers).

“Jaga-jaga nanti kalau datang away ke Indonesia. Kamu kan mental,” ujar penyokong PSM Makassar, norramadhan88.

“Berlagak hebat?? KL Ultras casual hooligan. Mari sini datang away Indonesia. Takkan berani di kandang sendiri sahaja,” tulis notactivated.

“Hati-hati kau anjing penyokong Malaysia jika away ke Indonesia. Darah dibalas dengan darah,” komen sandy_alalwi.

WhatsApp Image 2022-08-29 at 10.54.31 AM

KL Rovers tampil memberi penjelasan kepada penyokong PSM Makassar bahawa kelab itu tidak mempunyai kaitan dengan insiden yang berlaku. — Facebook KL Rovers

Menurut penyokong KL City, pergaduhan yang sehingga kini tidak diketahui puncanya itu bukan ditimbulkan oleh pemain ke-12 skuad Warga Kota namun dari kalangan penyokong kasual.

Selain media sosial KL City dan KL Rovers, Facebook pemain legenda Malaysia, Azman Adnan turut menjadi mangsa serangan penyokong negara jiran.

Malah, sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard juga menyatakan bahawa berdasarkan dari klip video tular menunjukkan mereka yang menimbulkan pergaduhan itu adalah kelompok individu memakai baju hitam.

Susulan, insiden pergaduhan itu, pihak KL City kini dalam proses mengadakan perbincangan dengan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram