Casual Perak yang mula dulu, Kelantan FC tiada kompromi


  • Podium
  • Sabtu, 13 Ogos 2022

Mohd Afiq tegas dengan pendiriannya berhubung insiden tersebut.  — Agensi

HANGAT di media sosial pada Rabu lalu apabila tular di media sosial video yang menyaksikan penyokong Kelantan FC, dipercayai membaling objek seperti botol air dan batu ke arah bas pemain Perak FC sehingga menyebabkan cermin kenderaan itu pecah.

Namun difahamkan, tindakan ganas penyokong The Red Warriors itu adalah berpunca daripada penyokong Perak yang memijak bendera Kelantan dan membuat onar di stadium termasuk buang air kecil merata di gelanggang lawan.

Mengulas insiden tersebut, Kelantan FC dalam satu kenyataan menegaskan tidak akan berkompromi sama sekali dengan provokasi yang dicetuskan sekumpulan penyokong di kawasan Stadium Sultan Muhammad IV tersebut.

Pemangku Pengurus Operasi The Red Warriors Kelantan FC, Mohd Afiq Ab Manaf berkata, pihaknya telah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut dan siasatan lanjut akan diambil oleh pihak berkuasa.

"Kejadian provokasi ini dipercayai bermula dengan hamburan kata-kata kesat sejurus separuh masa kedua berlangsung.

"Sekumpulan penyokong yang digelar casual Perak mula masuk ke dalam stadium dan terus melakukan provokasi.

"Kelantan FC akan sentiasa menjaga ketenteraman semua penonton yang hadir ke stadium," katanya menerusi sebuah kenyataan media.

Mengulas lanjut, Mohd Afiq berkata, selepas tamat masa penuh perlawanan, kekecohan kali kedua bermula akibat provokasi daripada casual Perak dengan melempar bekas air plastik ke arah penonton Kelantan FC.

"Anggota keselamatan Kelantan FC bersama polis telah membawa masuk penyokong Perak FC ke padang untuk mententeramkan keadaan, namun ahli casual Perak tetap melakukan provokasi di atas padang.

"Antara tingkah laku dilakukan oleh mereka adalah mengeluarkan kata-kata kesat, mengejek penyokong tuan rumah dan menunjukkan isyarat lucah kepada penyokong Kelantan FC," katanya.

Beliau berkata, dua ahli casual Perak yang disyaki melakukan provokasi telah ditahan polis dengan bantuan maklumat dari pihak keselamatan Kelantan FC.

Perlawanan Liga Premier melibatkan dua pasukan itu menyaksikan Kelantan FC tewas 1-2 kepada Perak.

Sebelum ini, Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net), Mohd Nurul Mohd Yusoh meminta agar Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjalankan siasatan secara telus serta adil insiden kekecohan antara penyokong TRW dengan The Bos Gaurus itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram