Pengganti Taiki Kagayama berita baik buat fans Sabah, siap sanggup pajak tiket satu musim


  • Podium
  • Ahad, 01 Jan 2023

Kumaahran sebelum ini pernah menyertai JDT II pada musim 2021 sebelum memutuskan untuk menyarung jersi PJ City pada tahun berikutnya. — Instgram/Kumaahran

SAMBUTAN tahun baharu 2023 Sabah FC dimulakan dengan menghidang berita gembira kepada penyokong skuad The Rhinos iaitu mengumumkan seorang lagi pemain baharu yang akan memperkasakan lagi pasukan itu bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) nanti.

Menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi Sabah FC, pihak pengurusan kelab Borneo itu mengumumkan bekas bintang skuad Bawah-23 (B-23) kebangsaan, S.Kumaahran sebagai ahli keluarga baharu Sang Badak.

Keputusannya menyarung jersi Sabah boleh diibaratkan sebagai reunion bersama gurunya, Datuk Ong Kim Swee berikutan dia pernah beraksi bersama Harimau Muda pada 2015 dan salah seorang watak penting yang membawa Malaysia memenangi pingat perak Sukan SEA tahun tersebut.

Selepas beraksi untuk skuad Harimau Muda B, pemain berusia 26 tahun itu memberikan khidmatnya untuk negeri kelahirannya Pulau Pinang pada 2016 sebelum berhijrah ke Johor Darul Takzim (JDT), Pahang, Melaka dan tahun lalu bersama Petaling Jaya (PJ) City FC.

WhatsApp Image 2023-01-01 at 11.19.47

Kumaahran diumumkan sebagai pemain baharu Sabah FC Sabtu lalu. — Facebook/SabahFC

Pemain sayap itu menjadi salah seorang bintang utama buat skuad The Phoenix pada musim lalu sehingga mereka mampu memberi saingan sengit kepada pasukan lain meskipun hanya dibarisi pemain tempatan.

Pengumuman Kumaahran sebagai bintang baharu The Rhinos sememangnya mendapat sambutan positif daripada penyokong berikutan dia dikenali sebagai seorang pemain yang versatail apabila turut mampu berkhidmat di posisi bek kanan dan pertengahan kanan.

Malah, kehadiran bekas tonggak Harimau Selatan ini dijangka boleh menggantikan pemain sayap Sang Badak sebelum ini, Taiki Kagayama yang dilaporkan pulang ke Liga Finland bagi meneruskan kariernya.

"Macam mana nak pajak tiket untuk satu musim," kata penyokong Sabah FC, Sabran Raiman yang tidak sabar ingin melihat aksi Kumaahran.

"Macam boleh jadi juga dia ini sebagai pengganti si Taiki," komen penyokong The Rhinos, Mohd Syafi Yusof.

"Kami mengalu-alukan kedatangan tuan ke Sabah FC. Sabah maju jaya. Radu terus," tulis, penyokong skuad Sang Badak, Jasmen Sileh.

Selain Kumaahran, Sabah FC sebelum ini sudah mengesahkan tiga pemain baharu iaitu Jafri Firdaus Chew, Irfan Zakaria, Darren Lok, selain mendapatkan khidmat Stuart Wilkin secara tetap dari pasukan Harimau Selatan secara tetap.

Pasukan Sang Badak juga dijangkan akan membawa masuk lebih banyak pemain kualiti bagi membantu saingan Liga Super pada musim depan yang akan bermula pada 24 Februari 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram