Ketepi sentimen anak jati, ada sebab patut biar TRW 'sign' bintang muda buangan The Rhinos


  • Podium
  • Khamis, 05 Jan 2023

Gerald (tiga dari kanan) hanya diturunkan sebanyak lapan kali pada saingan Liga M musim 2022. — Instagram/Gerald

KELAB berpangkalan di Borneo, Sabah FC nampaknya sekali lagi bakal menjadi pencabar terbesar Liga Super musim 2023 apabila dilihat semakin rancak membuat perubahan baharu.

Antara perubahan yang dilakukan skuad Sang Badak ialah menaik taraf padang di pusat latihan dengan menambah baik sistem perparitan, selain membawa masuk beberapa pemain baharu.

Setakat ini, The Rhinos berjaya memikat beberapa pemain baharu dalam pasukan antaranya ialah dua pemain Petaling Jaya (PJ) City FC, Darren Lok, S Kumaahran, Danial Haqim dari Johor Darul Takzim (JDT), Irfan Zakaria (Kuala Lumpur City FC), Jafri Firdaus Chew (Penang FC) dan R Dinesh (Negeri Sembilan FC).

Bukan itu sahaja, Sabah FC juga berjaya mendapatkan pemain kacukan England-Malaysia, Stuart Wilkin sebagai pemain tetap daripada pemain kelab Harimau Selatan.

Rombakan pemain yang dilakukan Sabah FC itu juga menyaksikan beberapa tonggak The Rhinos seperti Nazirul Naim, Jose Embalo dan Taiki Kagayama terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan itu.

Terbaharu, pemain pertahanan Sabah, Gerald Gadit pula difahamkan akan meninggalkan pasukan di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu.

Desas-desus mengatakan bahawa pemain tempatan Sabah itu akan dipinjamkan ke Kelantan FC bagi membantu pertahanan skuad The Red Warriors (TRW).

WhatsApp Image 2023-01-05 at 15.17.57

Gerald juga sebelum ini merupakan pemain skuad belia The Rhinos. — Instagram/Gerald

Khabar angin itu diterima baik oleh penyokong The Rhinos walaupun ia kedengaran seperti meminggirkan sentimen anak jati daripada terus berbakti bersama negeri kelahiran Di Bawah Bayu.

Hal ini kerana, sekiranya Gerald dipinjamkan ke pasukan Pantai Timur itu, majoriti peminat Sang Badak optimis bahawa pemain berusia 23 tahun itu akan mendapat lebih pendedahan dan pengalaman.

"Bagus pemain berpotensi harus berhijrah cari pengalaman dan minit permainan. Semoga maju jaya," kata penyokong Sabah, Harith Adam.

"Pinjamkan dengan syarat minit permainan yang cukup. Sayang juga kalau jadi simpanan sahaja di Sabah. Bagus cari minit permainan dulu," tulis peminat Sang Badak, Pangerean Dangdingdut.

Bukan itu sahaja, jika pemain kelahiran Tenom, Sabah itu berkelana di Kelantan, Gerald akan berpeluang untuk memburu lebih banyak minit permainan.

Pada musim 2022 Liga Malaysia (Liga M), Gerald sekadar diturunkan sebanyak lapan kali dan mengumpul sebanyak 375 minit permainan sahaja.

Sekiranya Gerald sah menyarung jersi Kelantan, Gerald akan memperkuatkan benteng pertahanan bersama beberapa pemain Kelantan iaiatu Arip Amiruddin, Ghaffar Rahman dan Khairul Helmi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram