Bukan Liga Simpanan, De Paula dipetik turun pangkat ke M3 bersama skuad Hang Tuah


  • Podium
  • Sabtu, 18 Feb 2023

Untuk rekod, De Paula mula menyertai JDT pada Mei 2021 dan sepanjang bersama skuad Harimau Selatan, dia hanya berjaya membuat lima penampilan sahaja. — Facebook/JDT

SEKITAR awal Februari lalu, banyak spekulasi membabitkan masa depan penyerang naturalisasi negara bersama kelab Johor Darul Takzim (JDT) sama ada akan kekal bersama skuad utama Harimau Selatan atau sebaliknya.

Sebelum ini, terdapat beberapa laporan yang menyebut De Paula akan diletakkan bersama pasukan simpanan JDT untuk berentap di samping pemain berusia Bawah 23 Tahun (B-23).

Khabar angin itu timbul susulan dia dilihat mengikuti latihan JDT II bagi saingan Liga Simpanan dan ketiadaannya bersama skuad utama sepanjang sesi pramusim di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Namun begitu, hasrat untuk melihat pemain berusia 37 tahun itu menjadi contoh kepada pemain junior tidak kesampaian apabila nama De Paula dipetik akan beraksi bersama bekas pasukan Liga Super, Melaka FC.

Memetik laporan dari Astro Arena, Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), Datuk Nur Azmi Ahmad mengucapkan tanda penghargaan kepada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana sudi memberi peluang kepada pemainnya untuk beraski bersama Melaka FC bagi saingan Liga Divisyen Tiga (Liga M3).

AZMI

Nur Azmi berterima kasih kepada TMJ kerana sudi memberi pemain tersebut kepada Melaka FC.

"Saya menjunjung kasih dan terima kasih kepada Tuanku Mahkota Johor kerana sudi berbincang dan memberi peluang kepada pemain tersebut memilih pasukan mereka.

"Saya tidak boleh sahkan lagi bila pemain itu report kepada saya. Jika pemain itu report kepada saya, bolehlah saya jelaskan pemain tersebut nak bermain untuk Melaka," katanya.

Meskipun Nur Azmi tidak menyebut sebarang nama pemain Harimau Selatan itu namun ramai penyokong bola sepak memetik De Paula akan berhijrah dari JDT ke Melaka FC bagi membantu memperkuatkan jentera serangan pasukan itu.

Melaka United FC dibatalkan penyertaan di Liga Super oleh “First Instance Body” (FIB) selepas tidak membayar gaji pemain sehingga enam bulan gagal dan disahkan akan bertanding pada saingan Liga M3 dengan menggunakan nama Melaka FC.

Sekiranya bekas penyerang Selangor FC itu merupakan individu yang dimaksudkan, beraksi bersama Melaka FC dalam saingan Liga M3 diharap boleh membantu De Paula mengembalikan sentuhannya di hadapan pintu gol. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram