Belum pun lancar jersi JDT, penyokong fanatik Harimau Selatan dah mula mengeluh atas 5 sebab sama setiap tahun


  • Podium
  • Jumaat, 17 Feb 2023

Jersi baharu JDT yang ditaja dan direka khas oleh syarikat gergasi Nike yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

JOHOR Darul Takzim (JDT) akan melancarkan jersi terbaru untuk saingan Liga Super 2023 pada 18 Februari 2023 menerusi video ‘teaser’ di Facebook dan Instagram rasmi Johor Southern Tiger.

Bagi peminat dan penyokong JDT sudah tentu mereka tidak sabar untuk menjadi individu terawal untuk memiliki jersi Harimau Selatan kerana menjadi simbol kebanggaan untuk setiap penyokong setiap kali berkunjung ke stadium.

Malah, jersi JDT yang ditaja dan direka khas oleh syarikat gergasi Nike yang berpangkalan di Amerika Syarikat menjadikan kain jersi lebih berkualiti dan bermutu tinggi.

Namun, harga jersi yang mahal menjadi salah satu faktor mengapa sesetengah penyokong JDT tidak mampu membeli jersi original.

Harga jersi JDT untuk musim 2022 berharga RM299 sehelai untuk saiz dewasa manakala untuk saiz kanak-kanak berharga RM235 sehelai untuk kualiti fans issue, manakala untuk player issue pula sehelai jersi berharga lebih RM500, sekali gus menjadikan jersi kelab bola sepak termahal di Liga Super.

JDT akan mengumumkan jersi baharu mereka pada Sabtu.

Begitupun menerusi tinjauan Majoriti di ruangan komen, rata-rata penyokong sudah mula mengeluh tentang masalah yang dijangka akan berlaku pada hari perlancaran jersi nanti.

"Tiap kali pelancaran jersi, jersi tak cukup, tunggu restock, dah half season baru ada stok, kalau tahun ini macam itu juga, nampak sangat tak ada pembaharuan," dakwa Faiz Jepon.

"Minta besarkan sikit saiz bajunya, kesian tak ada saiz besar," ujar Amirul Anwar Rosli.

"Jualan online takkan tak ada, tak dapat nak turun Sabtu ini?" soal Kyrell Redza.

"Harap logo JDT di jersi tahun ini tak terkoyak lapisan atasnya, basuh dengan tangan penuh kasih sayang masih tertanggal juga, terpaksa beli satu lagi limited edition Piala Malaysia 2022, tak berani nak basuh sehingga hari ini," jelas Amir Abu Bakar.

Apa yang pasti, diharapkan pihak pengurusan JDT dapat memikirkan tentang masalah yang dihadapi kerana pastinya ingin memiliki jersi yang berkualiti sebagai sokongan mereka terhadap kelab yang mereka cintai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram