Kontroversi tajaan vape: BRM bayang mungkin tarik diri Liga M3


  • Podium
  • Khamis, 16 Feb 2023

Jersi Kuala Kangsar BRM FC yang tertera nama syarikat vape. — Kuala Kangsar BRM FC

PASUKAN Liga M3, Kuala Kangsar BRM FC membuat permohonan maaf berhubung isu paparan logo syarikat rokok elektronik vape pada jersi skuad itu.

Permohonan maaf itu dibuat menerusi kenyataan rasmi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ghafari Nasir yang disiarkan menerusi akaun Facebook rasmi kelab berkenaan, pada Khamis.

Ghafari menerusi kenyataan itu turut menjelaskan kemungkinan besar kelab tersebut akan menarik diri daripada saingan Liga M3 musim ini.

"Kami memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan perkara yang berlaku berkaitan isu penajaan dari sebuah syarikat rokok elektronik.

"Rentetan isu ini, berkeberangkalian besar pasukan Kuala Kangsar BRM FC akan menarik diri dari saingan Liga M3 2023 atas masalah penajaan yang kami hadapi.

"Ahli lembaga pengarah kelab akan bermesyuarat dan membuat keputusan dalam masa yang terdekat," katanya.

FpFYaoCaUAMEpIN

Sebelum ini, sebuah portal bola sepak tempatan mempersoalkan tindakan BRM FC menggunakan logo yang didakwa berkaitan sebuah syarikat vape pada jersi mereka.

Ini kerana ia dianggap melanggar syarat penajaan pasukan bola sepak dalam Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Jersi berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, minggu lalu.

Isu itu seterusnya mendapat perhatian daripada Liga Bolasepak Amatur (AFL) dengan Pengerusinya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan pihaknya akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada pasukan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram