Gagal dapat tempat di luar negara, ini 3 pemain warisan yang wajar beraksi di Liga M sebelum terlambat


  • Podium
  • Rabu, 15 Feb 2023

Sebelum muncul antara penyerang terbaik tanah air, Darren Lok pernah beraksi di divisyen keenam England bersama Eastbourne Borough.

PEMAIN warisan ataupun kacukan sering kali mendapat perhatian dan liputan dari penyokong bola sepak tanah air sehingga ada di antara daripada mereka boleh menenggelamkan para pemain tempatan sedia ada.

Majoriti penyokong juga bagaikan berkongsi pendapat sama mengenai pemain warisan yang mana rata-ratanya berasa kelompok tersebut pasti mempunyai kualiti permainan jauh lebih baik daripada pemain lokal kerana pengalaman mereka beraksi di luar negara.

Namun, hakikatnya pahit untuk ditelan apabila segelintir daripada pemain warisan yang kini beraksi di luar negara kurang mendapat tempat dan hanyalah bermain di liga divisyen terbawah demi meneruskan perjalanan sebagai bintang bola sepak.

Justeru itu, ada yang mencadangkan agar bintang warisan tanah air yang kurang mendapat tempat di luar negara dinasihati untuk pulang ke Malaysia dan beraksi dalam saingan domestik.

Berikut Majoriti menyenaraikan 3 pemain tempatan yang perlu beraksi di Liga Malaysia (Liga M) demi kelangsungan karier mereka dalam sukan bola sepak:

1) Kobe Jay Chong

WhatsApp Image 2023-02-14 at 21.51.12

Kobe Jay kini menyarung jersi Nuneaton Borough FC.

Karier pemain yang pernah dikaitkan dengan Sri Pahang FC pada musim 2022, Kobe Jay Chong nampak semakin ke belakang apabila dilaporkan dia kini menyertai pasukan dalam saingan divisyen ketujuh di England iaitu, Nuneaton Borough FC.

Sebelum ini pemain muda Malaysia-Jamaica itu beraksi dalam saingan keenam England iaitu AFC Telford United namun semuanya beraksi selepas gagal merebut tempat kesebelasan utama.

Bersama Telford United, pemain berusia 22 tahun itu hanya beraksi dalam 14 perlawanan sejak menyertainya pada Julai 2022 dan kebanyakan aksinya bermula dari bangku simpanan.

Dengan usianya yang semakin meningkat, Kobe Jay sepatutnya sudah boleh memikirkan masa depannya seperti berhijrah ke negara lain ataupun ke Malaysia demi menyelamatkan kariernya sebagai seorang pemain bola sepak.

Meskipun Liga M tidaklah memberi saingan kompetitif seperti di Eropah namun Kobe Jay masih boleh mengeluarkan potensinya, sekali gus membuka peluang untuk dia menyarung jersi kebangsaan.

2) Jaami Muhammad Qureshi

WhatsApp Image 2023-02-14 at 21.51.31

Jaami Qureshi hanya mampu menunggu sembuh sepenuhnya sebelum kembali aktif.

Episod malang berganda buat pemain kacukan Inggeris-Malaysia, Jaami Qureshi apabila masih tidak mempunyai kelab dan baru sahaja sembuh daripada kecederaan ACL (Anterior Cruciate Ligament).

Pemain yang juga mempunyai kerakyatan Iraq itu dilanda kecederaan ACL pada Disember tahun lalu sehingga ia menjejaskannya untuk kembali cergas menjelang jendela perpindahan bola sepak di Eropah pada Januari lalu.

Jaami Qureshi sebelum ini dilepaskan oleh kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Brighton & Hove Albion pada penghujung musim 2021/2022 dan sehingga kini dia masih berstatus tanpa kelab.

Sekiranya Jaami Qureshi masih berharap untuk beraksi, dia perlulah menunggu sehingga sembuh sepenuhnya dan kembali bersaing dengan pemain muda lain di England.

Prospek muda berusia 19 tahun itu juga boleh mencuba nasib untuk beraksi di Liga M pada jendela kedua nanti sekiranya dia masih berstatus tanpa kelab pada pertengahan musim ini.

3) Richard Li Hua Chin

WhatsApp Image 2023-02-14 at 21.51.22

Richard Chin kini beraksi bersama Charlton Athletic.

Selepas membuat sejarah menjadi pemain berdarah Malaysia pertama yang tampil dalam saingan Piala EFL ataupun Piala Carabao pada tahun lepas, jarang didengari khabar pemain warisan negara, Richard Chin.

Tonggak pertahanan itu kini beraksi bersama kelab divisyen tiga liga bola sepak England, Charlton Athletic dan pernah mendapatkan kepercayaan jurulatih apabila diturunkan pada aksi pusingan kedua Piala EFL menentang Walsall.

Namun selain aksi ketika perlawanan Piala EFL itu, pemain berusia 19 tahun itu hanya tampil dalam 15 perlawanan bersama pasukannya, selain diturunkan sebagai pemain gantian sahaja.

Usianya yang masih muda masih boleh menggunakan peluang untuk kekal beraksi di England mahupun Eropah namun sekiranya dari tahun ke tahun dia hanya turun sebagai pemain simpanan, adalah elok Richard mencari angin baharu.

Richard yang mempunyai hubungan dengan negara yang mana datuknya berasal dari Malaysia boleh mencuba nasib untuk beraksi di Liga M dan diharapkan akan boleh mewakili Malaysia bersama Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram